FAIZAL dan Azhan bergandingan dalam filem Kalla.
FAIZAL dan Azhan bergandingan dalam filem Kalla.
Norhayati Nordin

Berada pada tahap yang dilihat sebagai figura berbakat dan disegani di persada industri hiburan tanah air bukan sesuatu yang mudah, namun itu dibuktikan Faizal Hussein.

Pada usia mencecah 51 tahun serta bertubuh kurus, tinggi yang segak, tak dinafikan Faizal layak mendapat jolokan ‘hero emas berbisa’.

Lebih tiga dekad menceburi bidang lakonan, ternyata Faizal sudah mampu tersenyum bangga dan puas kerana dia kini berada dalam kelasnya tersendiri.

Bersua dengan Faizal dan pelakon drama berkaliber, Azhan Rani pada sesi fotografi diatur untuk rangka promosi filem Kalla lakonan mereka baru-baru ini, apa yang dapat disimpulkan ialah umur hanyalah angka.

Siapa sangka peminat industri hiburan tanah air kini sudah bersikap terbuka dan menghormati penggiat seni yang berbakat tanpa mengira faktor usia.

Bercerita mengenai filem Kalla yang bergenre aksi dan pengembaraan, Faizal berkata, ia boleh disifatkan sebagai karya yang sangat menarik, berkualiti dan bertaraf tinggi.

“Saya puas berlakon dalam filem ini walaupun mengalami banyak kecederaan ringan. Saya tak kisah pun asalkan hasil lakonan adalah terbaik.

“Membintangi Kalla adalah rezeki yang membawa diri keluar dari zon selesa sebagai pelakon filem aksi. Sudah banyak filem aksi saya lakonkan, namun Kalla memberi pengalaman baru dan menarik.

“Dalam filem ini, saya melakonkan watak utama sebagai Dr Ezahar, seorang pakar dalam sejarah dan ahli arkeologi. Namun, kurangnya pada Dr Ezahar adalah dia tiada kemahiran seni pertahankan diri,” katanya.

Menurut Faizal, satu cabaran besar buat dirinya dalam merealisasikan watak Dr Ezahar itu apabila perlu ingatkan diri tidak boleh melakukan aksi pergaduhan.

“Kalla berbeza daripada filem aksi yang pernah saya bintangi sebelum ini. Kali ini saya lebih banyak ditumbuk dan ditendang tanpa boleh membalas balik.

“Ia tidak mudah dilakukan kerana saya harus cekal bertahan membiarkan diri menjadi mangsa belasahan. Saya hanya boleh menjerit dan membuang barang untuk tunjukkan perasaan marah atau tidak puas hati,” katanya.

Diterbitkan Little Film Production, filem arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin yang tamat penggambaran pada Januari lalu ini turut membariskan pelakon seperti Vanida Imran, Zaidi Omar, Riz Amin, Adam Shahz dan Fara Ali Khan.

Ia dijangka menemui penonton September ini.

Faizal berkata, bagi membawa watak Dr Ezahar, dia juga menjaga stamina dan pastikan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk cergas setiap kali di lokasi penggambaran.

“Kalla adalah karya filem baru masa kini. Ia tidak menjual ‘bakat pelakon’ semata-mata sebaliknya garapan plot cerita mantap dan sinematografi sangat menarik untuk penilaian penonton,” katanya.

Dalam pada itu, berbicara mengenai sambutan Aidilfitri, Faizal akan beraya dengan keluarga isterinya di Johor terlebih dulu sebelum meraikannya di Kuala Lumpur.

Katanya, dia pun tidak cuti lama kerana terikat dengan jadual promosi filem dan produk seni yang lain.

Azhan puas realisasi impian

Walaupun pembabitannya di layar perak masih baru, namun Azhan Rani puas dapat membintangi filem Kalla di samping Faizal.

Azhan, 42, yang kini menjadi perhatian ramai menerusi lakonannya sebagai Ustaz Syed Hamadi dalam drama Nur di TV3 berkata, dia sudah lama menyimpan impian untuk berlakon dengan Faizal.

“Saya sangat kagum dengan bakat Faizal. Pada saya, dia sudah berada pada aras pencapaian tertinggi dalam kerjaya seninya.

“Berikan apa saja watak kepadanya, pasti hasil lakonan dipersembahkan tidak membuatkan penonton kecewa. Peluang berlakon dengan Faizal adalah rezeki dan sangat bermakna,” katanya.

Melakonkan watak Inspektor Harris dalam filem Kalla, Azhan berkata, dia juga kagum dengan komitmen dan stamina kecergasan ditunjukkan Faizal.

Katanya, dia tidak pernah mendengar Faizal merungut di lokasi kerana penat atau sakit badan disebabkan perlu berulang kali melakonkan babak sama.

“Sebagai pelakon yang sembilan tahun muda daripada Faizal, saya malu dengan diri sendiri apabila gagal beraksi sebaik dia. Bukan mahu bersaing, tetapi kagum dengan komitmen diberikannya.

“Semangat cekal dan gigih Faizal sepanjang penggambaran menjadi inspirasi kepada saya. Sewajarnya saya juga harus berlakon sebaik dia,” katanya.

Menurut Azhan, dia puas dan rasa berbaloi menolak beberapa projek drama hanya kerana mahu membintangi Kalla di samping Faizal.

Katanya, untuk jadi pelakon yang bagus perlu menimba pengalaman berlakon dengan pelakon terbaik.

“Sebaik saya ditawarkan watak Inspektor Harris itu, saya tanya pada produksi siapa hero filemnya. Bila mereka sebut nama Faizal, saya terus kata akan terima jika heronya Faizal.

“Jadi apabila produksi mengesahkan Faizal terbabit dalam Kalla, saya terus setuju. Bagi saya, masa ditunggu-tunggu selama ini sudah tiba,” katanya.

Baru kali kedua membintangi filem, Azhan berkata, dia bersikap memilih.

Katanya, dia tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti keputusan pernah dibuatnya untuk berlakon filem pertama dulu.

Sementara itu, bercerita mengenai sambutan Syawal, Azhan berkata, dia lebih memberi keutamaan pada keperluan ibunya.

Katanya, sejak bapa meninggal dunia, hanya ibu yang ada untuk dia terus bermanja.

Menurut Azhan, dia juga akan membawa ibu dan keluarganya yang lain bercuti pada hari raya kedua di sekitar Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 1:03 PM