FAIZAL
FAIZAL
Norhayati Nordin


Meskipun usia hampir mencecah 50-an, ‘saham’ pelakon Faizal Hussein, 49, sangat tinggi untuk watak utama baik filem mahu pun drama.

Sebagai pelakon berpengalaman dan berkaliber, Faizal yang mencipta nama pada era 1980-an melalui filem Gila-Gila Remaja terus popular dan mendapat permintaan hangat di pasaran. Watak Azroy dibawa bukan saja menaikkan namanya malah diingati sampai kini.

Bertemu Faizal ketika pelancaran filem adaptasi novel, Tombiruo: Penunggu Rimba karya Ramlee Awang Murshid baru-baru ini, pelakon utama Bunohan itu mengaku selesa bersikap tidak terlalu memilih.

Katanya, apa menjadi keutamaan berusaha merealisasikan karakter dibintangi sebaik mungkin.

Anak bongsu Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarhamah Mahyon Ismail ini juga bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan produksi baru.

“Industri hiburan negara ini tidaklah begitu besar, jadi sewajarnya saya mempertimbangkan tawaran yang diterima sebaik mungkin.

“Dalam soal ini, saya cuba berlaku adil apabila tidak hanya memberi tumpuan untuk bekerjasama dengan produksi yang sudah stabil dan dikenali,” katanya.

Apa yang menjadi keutamaan kepada Faizal adalah watak sesuai dengan usia dan ada kelapangan masa, dia memang tiada masalah untuk pertimbangkan.

“Kalau pelakon senior seperti saya enggan membantu produksi baru yang mahu menapak, siapa lagi. Saya harus mengambil pendekatan positif.

“Watak Azroy meninggalkan kesan yang besar kepada saya. Memang saya tak sangka, ia mampu bertahan sampai sekarang.

“Apapun, itulah rezeki namanya dan saya amat bersyukur. Saya juga tidak kisah kalau terus dikaitkan dengan Azroy,” katanya.

Bapa kepada dua cahaya mata, Fazryn, 11 dan Fazrick, 8, kini bahagia di sisi isteri tercinta, pelakon Suhaila Sulaiman, 40.

Selepas berkahwin, Faizal terus berlakon manakala Suhaila memperlahankan kerjaya seninya untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

Bagaimanapun, Faizal menafikan isterinya sudah ‘bersara’ daripada lakonan.

Katanya, Suhaila masih lagi berlakon cuma untuk terlalu aktif seperti dulu mungkin tidak sesuai.

“Sesekali ada juga isteri saya berlakon tapi kalau aktif seperti dulu mungkin tidak sesuai kerana kami ada anak yang masih kecil dan perlukan perhatian.

“Justeru, isteri saya hanya berlakon sekali-sekala. Bukan saya menghalang dia aktif, tetapi keutamaan dia lebih kepada anak.

“Ditambah kami tidak menggunakan khidmat pembantu rumah. Jadi, kalau isteri saya sibuk berlakon, macam mana pula dengan penjagaan dan urusan sekolah anak,” katanya.

Sebagai ketua keluarga, Faizal rasa lebih baik sekiranya hanya dia yang aktif dalam karier seni.

Pernah merangkul anugerah Pelakon Filem Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25 tiga tahun lalu, Faizal mengaku teruja dipilih membintangi filem Tumbiruo: Penunggu Rimba.

Melakonkan watak pembantu, Pondolou, dia sudah membaca novel Tumbiruo: Penunggu Rimba dan terpikat dengan jalan ceritanya.

“Apabila saya ditawarkan untuk satu watak dalam filem itu, sukar menolaknya kerana ia naskhah yang bagus.

“Novel Tumbiruo: Penunggu Rimba juga laris di pasaran. Jadi, saya yakin dan pasti pembaca novel ini juga tidak sabar menantikan bagaimana adaptasi Tumbiruo: Penunggu Rimba ke layar filem,” katanya.

Menyentuh soal cabaran, Faizal berkata selain perlu menjalani penggambaran dalam hutan menariknya dia juga harus mahir menuturkan dialek Sabah.

Selain Faizal, filem Tumbiruo: Penunggu Rimba dibintangi Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa dan Dynas Mokhtar.

Filem yang dikhabarkan menelan belanja pembikinan berjumlah jutaan ringgit ini diarahkan dua sutradara iaitu Nasir Jani dan Seth Larney.

Novel Tumbiruo: Penunggu Rimba karya Ramlee diterbitkan pada 1998 dan hingga kini mencatat jualan lebih 1.2 juta unit dan masih lagi dicetak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:09 AM