Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Mohammad Hanafi Maulud, (tengah) bersama sebahagian 13 pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) yang menerima sijil Graduasi Khas di Majlis Graduasi Kecemerlangan Pelatih OKU Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tumpat di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting, Pengkalan Kubur, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, buat pertama kalinya menganjurkan majlis graduasi bagi pelatih orang kurang upaya (OKU), yang menamatkan latihan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Pengarah JKM Kelantan Mohammad Hanafi Maulud berkata, majlis graduasi itu diadakan bagi menghargai pelatih PDK yang berjaya menempatkan diri ke aliran sekolah pendidikan khas dan alam pekerjaan.

Katanya, ia juga untuk memberi dorongan kepada ibu bapa supaya lebih prihatin dan cakna terhadap anak-anak mereka yang OKU.

"Selain itu, kita mahu memberi semangat kepada OKU yang menyertai PDK supaya lebih bersungguh-sungguh untuk memasuki alam persekolahan dan pekerjaan.

"JKM mendapat reaksi positif daripada ibu bapa yang gembira kerana anak OKU mereka juga mampu berjaya seperti anak normal lain," katanya ketika ditemui selepas Majlis Graduasi bagi Pelatih OKU PDK Jajahan Tumpat, di sini, semalam.

Beliau juga berharap selepas ini lebih ramai ibu bapa menghantar anak OKU mereka untuk latihan di PDK setiap daerah kerana membantu mereka berdikari.

Terdahulu, dalam majlis itu, seramai 27 OKU diraikan selepas tamat latihan di PDK dengan 17 daripada mereka memasuki persekolahan dan 10 lagi alam pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 1:31 PM