60 Miss Tourism International 2016 teruja melawat KLIA, semalam. FOTO Fariz Iswadi Ismail
60 Miss Tourism International 2016 teruja melawat KLIA, semalam. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki

Sepang: Seramai 60 finalis Miss Tourism International 2016 dari pelbagai negara mengunjungi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini, sebelum bertanding pada peringkat akhir hujung bulan ini.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airport Holdings Berhad (Malaysia Airports) Nik Anis Nik Zakaria berkata, kunjungan itu adalah siri jelajah bagi semua finalis, sekali gus dapat mempromosikan Malaysia di mata dunia.

"KLIA dipilih sebagai satu daripada lokasi siri penjelajahan kerana ia adalah pintu masuk utama bagi negara ini yang mampu membawa mereka melihat dan menerokai pelbagai tarikan yang ada di sini.

"Selain itu, Malaysia Airport adalah sebahagian daripada penaja rasmi dalam penganjuran Miss Tourism International 2016 iaitu edisi ke-19 dianjurkan sejak pertama kali diadakan di Kuching, Sarawak pada 1994," katanya.

Pertandingan Miss Tourism International 2016 mempunyai lima kategori anugerah iaitu Miss Tourism Global; Miss Tourism Cosmopolitan International; Dreamgirl of the Year International dan Miss South East Asia Tourism Ambassadress.

Anak kelahiran Melaka iaitu Ng Shin Ying, 20, adalah seorang daripada finalis yang juga wakil Malaysia dalam pertandingan peringkat dunia ini.

Nik Anis berkata, sepanjang lawatan itu, finalis turut diberi peluang untuk menjelajah di sekitar KLIA termasuk bangunan satelit yang mempunyai cawangan barangan berjenama dari pelbagai negara.

Katanya, setiap peserta turut diberi peluang melawat gerai jualan bebas cukai di bangunan satelit pelepasan antarabangsa dan transit Hotel Sama-Sama.

"Ini adalah salah satu peluang untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kelengkapan dan kemudahan yang disediakan pihak kami kepada penumpang mahupun pengunjung di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 2:00 PM