DANNY (tiga dari kiri) bersama peserta pada majlis pelancaran, semalam.
DANNY (tiga dari kiri) bersama peserta pada majlis pelancaran, semalam.
Oleh Siti Fatimah Hassan

Putrajaya: Seramai 63 jelitawan berentap merebut gelaran Miss Tourism International (MTI) 2014 yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan termasuk wang tunai, mahkota, baucar, trofi serta biasiswa bernilai RM250,000 tajaan Asia Metropolitan University (AMU).

Presiden Miss Tourism International Tan Sri Danny Ooi berkata, lima daripada mereka dipilih sebagai pemenang pada malam Miss Tourism International 2014 World Final yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 31 Disember nanti.

Katanya, acara itu juga menjadi landasan kepada Malaysia mempromosi industri pelancongan negara apabila semua delegasi daripada 63 negara itu dibawa menyertai pelbagai acara promosi dan amal.

“Acara ini unik kerana ia satu-satunya pertandingan ratu cantik diadakan pada malam tahun baru dan ia juga landasan mempromosikan Malaysia.

“Selain menobatkan Miss Tourism International, kami memberi anugerah kepada empat lagi peserta dalam acara ini,” katanya pada sidang media di Hotel Marriot, di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Besar Marriot Putrajaya Resort Hotel and Spa, Simon Yong dan Ketua Pegawai Eksekutif PICC, Badlishah Ahmad.

Ooi berkata, sempena acara itu juga, seorang pemenang akan dipilih sebagai Miss South East Asia 2014/2015 dalam kalangan peserta tujuh negara ASEAN yang menyertai pertandingan itu.

Katanya, selain lima gelaran utama, mereka turut mempertandingkan 14 lagi kategori untuk dimenangi, antaranya Miss Potrait Queen, Miss Charity Queen, Miss Elegant, Miss Photogenic serta Miss Friendship.

“Menerusi acara promosi, semua delegasi akan dibawa melawat bandar raya Kuala Lumpur dan menyaksikan Festival Cahaya anjuran Perbadanan Putrajaya serta melakukan kunjungan ke Teluk Intan, Ipoh di Perak serta Langkawi, Kedah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:14 AM