AHLI fisioterapi membantu pesakit melakukan senaman regangan.
AHLI fisioterapi membantu pesakit melakukan senaman regangan.
MOHD Arif (berdiri) berbincang dengan ahli fisioterapi.
MOHD Arif (berdiri) berbincang dengan ahli fisioterapi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Menjadi majikan dan mempunyai pekerja sendiri antara impian ramai terutamanya mereka yang sudah lama bekerja makan gaji.

Tidak berani mencuba sesuatu yang baru mungkin batu penghalang kepada seseorang untuk merasai peluang itu.

Namun berlainan pula dengan anak muda ini yang sememangnya gemarkan cabaran selain ingin mencuba kelainan membawanya menceburi bidang perniagaan.

Mohd Arif Mohd Yusof, 26, adalah pemilik sebuah pusat fisioterapi di Bandar Baru Bangi, Selangor sejak April tahun lalu.

Lebih membanggakan, dia sanggup memulakan perniagaan itu dengan cara bergerak dari rumah ke rumah selama lapan bulan semata-mata ingin memberikan perkhidmatan fisioterapi kepada pelanggan.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi (kepujian) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kini sudah boleh tersenyum bangga kerana mempunyai 10 kakitangan yang terdiri daripada tujuh ahli fisioterapi bertauliah dan tiga kakitangan bahagian pentadbiran di pusat fisioterapi miliknya.

Katanya, dia terdorong menceburi perniagaan itu kerana mahu memberikan kesedaran kepada rakyat di negara ini berkenaan kebaikan rawatan fisioterapi dan kesihatan.

Menurutnya, ramai masyarakat negara ini kurang maklumat berkenaan rawatan fisioterapi berbanding di negara luar yang sememangnya sudah popular seperti di United Kingdom dan Australia.

“Fisioterapi ialah satu cabang perubatan untuk penjagaan atau pemulihan fungsi fizikal pesakit.

“Matlamat utama rawatan ini untuk membantu pesakit mengembalikan dan memastikan setiap fungsi fizikal mereka berada pada tahap optimum serta berfungsi dengan baik,” katanya.

Jelasnya, untuk memberikan pemahaman kepada orang ramai berkenaan kebaikan rawatan fisioterapi satu cabaran besar baginya.

Bagaimanapun, bagi pemuda berwawasan ini, cabaran itu dilihat sebagai satu perjuangan untuk ahli fisioterapi.

Berkongsi lanjut pengalamannya memulakan perniagaan itu, Mohd Arif berkata, ibunya, Ramlah Mat Jusoh, 60, antara individu yang menyokong usahanya.

Tidak dinafikan pada peringkat awal ibunya itu lebih menggalakkan dia bekerja dalam sektor awam.

“Namun, saya tetap meneruskan perancangan ini bukan kerana ingkar tetapi memikirkan peluang pekerjaan yang mencabar pada masa sekarang.

“Saya mahu bantu sesiapa saja terutamanya pesakit strok dengan memberi mereka peluang kedua untuk menikmati kehidupan lebih baik (boleh berjalan atau bekerja semula),” katanya yang bangga apabila ibunya kini antara individu paling gembira dengan kejayaan dicapainya itu.

Katanya, impiannya pada usia 35 tahun kelak biarlah perniagaan itu sudah stabil dan mempunyai sekurang-kurangnya 10 cawangan di seluruh negara.

“Pada pertengahan tahun ini, saya bakal membuka satu lagi cawangan di Kuala Lumpur.

“Saya berharap usaha ini mampu memberikan motivasi kepada semua graduan lepasan pengajian tinggi untuk menceburi bidang perniagaan sebagai pilihan utama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 12:34 PM