UMAT Islam berdoa selepas solat hajat mendoakan keselamatan masyarakat Rohingya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
UMAT Islam berdoa selepas solat hajat mendoakan keselamatan masyarakat Rohingya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kira-kira 1,000 umat Islam tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik hadir ke #Pray4rohingya Majlis Ittihad Ummah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini bagi menunjukkan sokongan kepada etnik Rohingya.

Pengarah Program #Pray4rohingya, Mohamed Gadafi Mohd Khairi berkata, majlis berkenaan berlangsung mulai 6.30 petang hingga 9 malam serta menampilkan pelbagai aktiviti berfokuskan isu berkait Rohingya.

"Ia diadakan susulan penganjuran Perhimpunan Solidariti Ummah Rohingya Stadium Taman Tasik Titiwangsa pada 4 Disember lalu.

"Bagi program hari ini, ia dimulakan dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah seterusnya solat sunat Hajat mendoakan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat Islam Rohingya," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau berkata, program berkenaan bertujuan menunjukkan keprihatinan masyarakat di negara ini memperjuangkan hak asasi dan kemanusiaan penduduk Islam di seluruh dunia khususnya etnik Rohingya.

Katanya, tiga penceramah turut dijemput pada program itu iaitu Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) Azril Mohd Amin; Ahli Jawatankuasa Biro Agama UMNO Rosdi Long serta Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nik Mohamad Abduk Nik Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 9:02 PM