Hafiz Ithnin

Penguncupan industri harta tanah negara sejak tahun lalu dan berterusan sehingga tahun ini menjadi perbualan bukan saja dalam kalangan pemain industri itu sendiri, malah ia memberi kesan kepada penurunan pelaburan negara dalam sektor perkhidmatan.

Namun, di sebalik kesan penurunan pasaran harta tanah itu, menjadi tanda tanya adakah tahun ini berbaloi untuk pelabur atau orang ramai untuk membeli aset.

Ini kerana, secara logiknya apabila sesuatu industri ini mula menguncup, maka pemain industri akan mula menawarkan lebih banyak pakej pembeli yang menarik bagi meningkatkan semula penjualan produk harta tanah mereka terutama dalam kalangan pemaju perumahan.

Naib Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PERHAM) dan juga pengasas Hartanahguru.com, Abdul Aziz Ahmad berkata, daripada laporan yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta menunjukkan penurunan transaksi industri harta tanah sebanyak antara lima hingga tujuh peratus pada tahun lalu berbanding 2014.

Beliau berkata, jabatan itu turut melaporkan dari segi transaksi jualan turut merosot sebanyak lapan peratus pada 2015 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Walaupun prestasi jualan itu merosot, orang ramai amat digalakkan untuk membeli hartanah pada waktu ini terutama bagi pelabur yang ingin mendapat pulangan untuk jangka sederhana iaitu antara lima hingga sepuluh tahun dan jangka masa panjang, lebih sepuluh tahun memandangkan ketika ini terdapat banyak pakej menarik ditawarkan pemaju.

“Ini kerana bagi pelaburan untuk jangka masa sederhana dan panjang, projek mega yang dibangunkan kerajaan yang kini dalam proses pembangunan akan siap antaranya kemudahan Mass Rapid Transit (MRT) yang akan memberi kesan kepada peningkatan harga jualan semula dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, jelasnya, walaupun situasi ekonomi semasa memberi kesan kepada industri harta tanah tetapi kenaikan nilainya begitu pantas memandangkan terdapat laporan penjualan harga harta tanah meningkat 63 peratus dari 2009 hingga 2015 selepas krisis ekonomi global yang berlaku pada 2008.

Abdul Aziz berkata, penting bagi orang ramai mengetahui lokasi yang bersesuaian untuk membuat pelaburan dalam kediaman terutama memastikan lokasi berkenaan mempunyai kemudahan lain yang mempunyai nilai tambah bagi penjualan semula pada masa depan.

Katanya, selain itu, membeli kediaman yang mempunyai kadar harga yang mendapat sambutan juga penting bagi memastikan aset berkenaan mudah dijual.

“Jika lihat kepada populasi rakyat Malaysia kebanyakkannya berusia antara 20 hingga 40 tahun ketika ini dan mereka mempunyai kemampuan untuk membeli kediaman antara RM300,000 dan RM400,000 dan pasaran ini yang perlu diterokai oleh pelabur berbanding kediaman dalam segmen mewah yang dijual melebihi harga RM600,000.

“Tambahan, jika kita melihat kepada penjualan harga kediaman oleh pemaju kediaman pada tahun lalu juga lebih tertumpu kepada harga tidak lebih RM400,000 memandangkan permintaannya tinggi,” katanya.

Beliau berkata, selain membuat pelaburan dari segi penjualan semula aset berkenaan kepada pembeli, orang ramai juga boleh membuat pelaburan dari segi menyewakan kediaman mereka untuk tempoh jangka sederhana ini kerana ia juga mendapat permintaan tinggi.

Katanya, dalam persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan ini, orang ramai akan memilih untuk menyewa berbanding membeli, tetapi pemilik kediaman perlu mengetahui harga sewaan itu berbaloi untuk membayar ansuran kepada pihak bank serta mendapat margin keuntungan.

“Misalnya, di sekitar Kuala Lumpur, harga yang mampu disewa adalah antara RM2,000 dan RM3,000 dan di luar kawasan bandar di bawah RM1,500 mengikut lokasi.

“Jika mereka membuat pelaburan dari segi sewaan perlu pastikan kadar sewaan yang dkenakan tidak kurang daripada bayaran ansuran kepada pihak bank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:05 AM