GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Tujuh belas individu terdiri daripada pekerja premis nombor ekor tidak berlesen, pemilik dan pelanggan ditahan polis dalam 17 serbuan di sekitar negeri ini.

Dalam serbuan antara 5 petang hingga 8 malam itu, mereka yang berusia antara 20 hingga 56 tahun itu ditahan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki dan tiga wanita.

"Dalam semua serbuan itu juga, kita merampas 17 telefon, 17 mesin pencetak dan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM911.

"Tiga ditahan di Pasir Gudang dan seorang di Bandar Seri Alam di sini, manakala yang lain, dua di Rengit, Batu Pahat.

"Turut ditahan, seorang di Kluang, Kulai (1), Senai (3), Tangkak (1), Labis (2), Segamat (2) dan Pontian (1)," katanya.

Beliau berkata, mereka yang didapati menjalankan atau menganjurkan judi ekor tanpa lesen boleh dituduh mengikut Seksyen 4 A(a) ARJT 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 10:29 AM