Bangunan Dewan Tuanku Canselor yang akan menjadi lokasi Jom Masuk IPT 2022  Zon 2 Utara.
Bangunan Dewan Tuanku Canselor yang akan menjadi lokasi Jom Masuk IPT 2022 Zon 2 Utara.
Ihsan Noorzali


Tanjung Malim: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat kemasukan universiti menerusi program Jom Masuk IPT 2022 Zon 2 Utara yang akan diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengalu-alukan kunjungan orang ramai, namun dinasihatkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaksanakan pihak UPSI.

"Pengunjung bukan sahaja berpeluang memperoleh maklumat tepat daripada universiti, malah melihat sendiri suasana kampus sebuah universiti yang termasyhur dalam melahirkan graduan pendidikan di negara ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh berkata, program Jom Masuk IPT 2022 akan diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah pada 12 dan 13 Februari ini, dari 8.30 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata, Jom Masuk IPT 2022 menjadi medium terbaik untuk kalangan pelajar lepasan SPM dan STPM, ibu bapa dan guru mendapatkan pelbagai maklumat sebelum mereka memilih program pengajian di universiti atau kolej.

"Ini adalah kali pertama Jom Masuk IPT diadakan di dalam kampus iaitu di Dewan Tuanku Canselor dan Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, malah calon berpeluang meninjau suasana kampus yang cantik panoramanya iaitu dilatari Banjaran Titiwangsa.

"UPSI akan memastikan program selama dua hari itu berjalan lancar dan semua pengunjung diwajibkan mematuhi SOP seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Calon berminat dengan pengajian bidang pendidikan, peluang mengunjungi gerai informasi disediakan UPSI perlu diambil sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 8:17 PM