ZAMBRY dan Berghmans  melakukan simbolik perasmian pembinaan kilang di Tapah.
ZAMBRY dan Berghmans melakukan simbolik perasmian pembinaan kilang di Tapah.
Farah Suhaidah Othman


Tapah: Peneraju global dalam penghasilan mineral dan kapur, Kumpulan Lhoist yang berpengkalan di Belgium mengembangkan pasaran intensif di Asia dengan pelaburan kilang kapur RM704.17 juta di negeri ini.

Perlaksanaan strategik projek berkenaan kesinambungan kerjasama ekonomi antara syarikat gergasi itu dengan kerajaan negeri Perak.

Pengerusi Kumpulan Lhoist, Baron Jean-Pierre Berghmans berkata, kilang berkeluasan 405 hektar itu dijangka menjadi hab di Asia, sekali gus landasan syarikat berkenaan meneroka pasaran baru di rantau ini.

Katanya, dengan anggaran kadar penghasilan 400 kiloton kapur dan 1.5 juta ton batu kapur setahun, kilang itu mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam penghasilan kapur berkualiti berdasarkan kepakaran serta pengetahuan dimiliki syarikat.

“Fungsi utama kilang baru ini ialah daripada segi perlombongan batu kapur serta menghasilkan kapur termasuk daripada segi penyediaan dan pemeriksaan batu serta pengkalsinan, penapisan, pembungkusan dan pemunggahan batu kapur.

“Dilengkapi dengan teknologi perlombongan dan penghasilan kapur paling maju, kilang baharu Lhoist di Tapah ini juga mempunyai kawasan pemunggahan dan pembungkusan yang jauh daripada tapak penghasilan bagi memastikan persekitaran bersih dan selamat,” katanya pada majlis pelancaran Kilang Kapur Kumpulan Lhoist oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sementara itu, Naib Presiden Sumber Manusia Lhoist (Malaysia) Sdn Bhd, Mohd Sarthar Sulaiman berkata, kilang Lhoist di Tapah yang ketiga di negeri ini selepas Pengkalan Hulu dan Ipoh.

“Syarikat mahu memberikan sesuatu kepada masyarakat setempat, sudah tentu objektif kami menggunakan tenaga kerja dan pengusaha tempatan, malah pembinaan kilang itu sendiri membabitkan orang tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kilang yang bakal beroperasi pada pertengahan tahun hadapan memberikan peluang pekerjaan kepada 350 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 9:00 AM