PETIKAN video suasana di kilang memproses batu kapur. FOTO Facebook Tan Kar Hing
PETIKAN video suasana di kilang memproses batu kapur. FOTO Facebook Tan Kar Hing
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menafikan berlaku pembakaran terbuka di kilang memproses batu kapur di Jalan Simpang Pulai-Lahat, di sini seperti yang didakwa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, sebaliknya siasatan pihaknya mendapati keadaan yang pada mulanya dikatakan sebagai pencemaran udara itu terhasil daripada kegagalan ketika mengendalikan produk serbuk batu kapur di kilang terbabit.

Beliau berkata, aduan mengenai insiden diterima daripada pejabat ADUN berkenaan pada lewat malam Selasa lalu yang mendakwa berlaku pembakaran terbuka di situ dengan kakitangan JAS Perak turun ke lokasi untuk menyiasat pada keesokannya.

"Aduan yang dirujuk pihak Pejabat ADUN itu (pada mula) disyaki adalah pembakaran terbuka tetapi sebenarnya yang kita temui bukan seperti diadukan kerana siasatan di lokasi mendapati tiada langsung sebarang kesan pembakaran ditemukan.

"Sebaliknya apa yang berlaku adalah pihak kilang itu sendiri mengesahkan berlaku kegagalan semasa pemindahan produk serbuk batu kapur daripada lori ke tangki silo yang meyebabkan suasana berdebu, dan perkara itu sudah ditangani pihak kilang.

"Debu berterbangan kerana kegagalan sewaktu pemindahan itu yang mana ia bersifat sementara dan di lokasi itu sahaja, tidak merebak ke kawasan lain. Mengenai warna 'asap' (debu), ia sebenarnya terhasil daripada pantulan lampu jalan," katanya sewaktu dihubungi selepas menyempurnakan perasmian penutup program Pertandingan Enviro Challenge Rakan Alam Sekitar JAS Perak 2022 di Taman Dr Seenivasagam, di sini, hari ini.

Katanya lagi, produk serbuk batu kapur itu juga bukan bersifat membahayakan jika dalam konteks pendedahan dan tidak berterusan.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tetap mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat bagi memperoleh laporan lengkap kejadian untuk meneliti jika terdapat unsur kecuaian dan pelanggaran untuk tindakan selanjutnya.

"Kita sedang menunggu laporan lengkap dari pihak kilang. Kalau memang ada kecuaian dan pelanggaran, kita akan ambil tindakan mengikut lunas undang-undang," katanya.

Terdahulu, Kar Hing menerusi rakaman video berbentuk penstriman langsung di Facebook (FB) berkongsi mengenai kejadian itu sambil menambah bahawa aduan mengenainya sudah dikemukakan kepada JAS selain polis memandangkan 'asap' (debu) yang diperlihatkan menerusi video itu disifatkan 'luar biasa.'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 4:12 PM