ORANG ramai turut serta dalam perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Kelantan 1438H/2016M yang berakhir di Masjid Muhammadi. FOTO Fathil Asri
ORANG ramai turut serta dalam perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Kelantan 1438H/2016M yang berakhir di Masjid Muhammadi. FOTO Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Lebih 1,000 orang berarak sejauh 1.6 kilometer dari pekarangan Pasaraya Parkson Padang Bas menuju ke Masjid Muhammadi sambil berselawat sempena sambutan Maulidur Rasul, di Kota Bharu tadi.

Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan (MBK), Muhamad Syahbuddin Hashim berkata, perarakan itu disertai Persatuan Kebajikan Tahfiz Kelantan (PKTK), Kelab Kebajikan Asnaf Negeri Kelantan, Persatuan Permotoran Negeri Kelantan (PPNK), Group United MBK (gu-MBK) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Katanya, dua Ikon MBK yang juga pemain pasukan bolasepak Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat turut menyertai perarakan itu.

"Sambutan kali kedua yang dianjurkan ini mendapat sambutan yang amat baik terutama daripada golongan belia dan juga orang awam yang berada di sekitar Kota Bharu.

"Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini bertemakan Ukhuwah Islamiyah diharap dapat menyatupadukan golongan belia dan juga para pemimpin belia di negeri ini.

"Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemimpin bagi menggalakkan penyertaan belia umat Islam dalam apa sahaja program bercorak keagamaan seperti sambutan Maulidur Rasul untuk menyatakan rasa kecintaan kepada baginda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 11:02 AM