DATUK Hakimah
DATUK Hakimah
Samadi Ahmad


Putrajaya: Sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menampilkan kelainan dengan mengetengahkan inovasi atau suntikan elemen teknologi persembahan seni media pemetaan cahaya yang memaparkan tayangan grafik berinteraksi dengan fasad latar pentas (astaka).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, persembahan khas juga diadakan bagi mengambil semangat kecintaan sebagai teladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa dari sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Katanya, persembahan khas ini diadaptasikan dengan kepelbagaian penyampaian yang berunsurkan keislaman menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan yang bersatu atas nama Islam.

"Bagaimanapun, acara perarakan yang menjadi acara lazim sambutan tidak diadakan tahun ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tema sambutan, iaitu Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pendekatan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang diperkenalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Isris Ahmad.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan hadir pada majlis ini.

Sambutan bermula 9.30 pagi ini turut dihadiri Perdana Menteri bersama isteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Hakimah berkata, seperti kelaziman sambutan ini turut mengadakan upacara penyampaian Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul SAW kepada individu yang layak.

Menurutnya, sambutan kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW sebagai pengiktirafan kepada individu layak dan banyak memberi sumbangan dalam pembangunan ummah dan negara.

Katanya, penerima dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang disumbang untuk pembangunan Islam yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara.

"Pemilihan penerima diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul SAW yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 11:15 AM