Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Seorang terbunuh manakala dua cedera apabila kereta dinaiki dipercayai terbabas melanggar pokok di Jalan Kuching, di sini, 11.30 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, berkata pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kemalangan terbabit pada 11.42 malam.

Katanya, tujuh anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul ke lokasi.

“Apabila tiba kami mendapati kemalangan membabitkan kereta dipercayai terbabas melanggar pokok.

"Terdapat tiga mangsa dengan lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi. Dua lagi mangsa dilaporkan cedera membabitkan lelaki dan wanita. Mereka tersepit," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa sudah dikeluarkan dan diserahkan kepada kakitangan ambulans untuk dihantar ke hospital dan siasatan lanjut berhubung kemalangan diserahkan pada pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 2:12 AM