Sebanyak 500 kenderaan diperiksa dan polis menahan 11 orang kerana kesalahan berkaitan dadah dalam operasi di Pelabuhan Klang. - Foto IZZATI IZZAH NADZI
Sebanyak 500 kenderaan diperiksa dan polis menahan 11 orang kerana kesalahan berkaitan dadah dalam operasi di Pelabuhan Klang. - Foto IZZATI IZZAH NADZI
Nur Izzati Izzah Nadzi


Pelabuhan Klang: Seramai 11 pemandu, penunggang serta pembonceng motosikal ditahan kerana pelbagai kesalahan dalam Ops Bersepadu Kenderaan di Kilometer 2 Lebuhraya Selat Klang Utara, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, hari ini,

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, mereka ditahan dalam operasi mulai 9 pagi hingga 1 petang itu kerana didapati terbabit dalam kes dadah.

Menurutnya, seorang wanita dan seorang lelaki yang dikehendaki kerana kesalahan berkaitan dadah, turut ditahan.

Beliau berkata, 500 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dan 90 saman dikeluarkan pelbagai agensi dalam operasi berkenaan.

"Kami menerima banyak aduan mengenai pemandu lori yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan maut di kawasan ini.

"Berikutan itu operasi ini diadakan dan 90 saman dikeluarkan," katanya.

Operasi itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 5:46 PM