JPJ memeriksa kenderaan dalam Operasi Khas Motosikal sempena Aidilfitri di Jalan Tuan Haji Said, Seremban. FOTO IHSAN JPJ
JPJ memeriksa kenderaan dalam Operasi Khas Motosikal sempena Aidilfitri di Jalan Tuan Haji Said, Seremban. FOTO IHSAN JPJ
Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 68 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Khas Motosikal sempena Aidilfitri di Jalan Tuan Haji Said, Seremban, malam tadi.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan berkata, operasi bermula jam 8 malam sehingga 11 malam turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Dalam operasi ini, sebanyak 221 kenderaan diperiksa dan 28 kenderaan diambil tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, cukai jalan serta lesen tamat tempoh.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 68 notis saman turut dikeluarkan termasuk 12 notis arah periksa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, Azrin berkata, seramai tiga individu ditahan AADK selepas ujian saringan dilakukan mendapati positif syabu.

Katanya, JIM turut menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) masing-masing dua warga Bangladesh dan empat Indonesia untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1963.

Beliau berkata, lapan notis arah periksa dikeluarkan JAS manakala polis juga mengeluarkan dua saman dalam operasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 4:05 PM