GAMBAR Hiasan. FOTO Ihsan polis
GAMBAR Hiasan. FOTO Ihsan polis
Zuhainy Zulkiffli


WALAUPUN operasi kerap dilakukan polis di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Butterworth, namun mat rempit masih tidak serik apabila menjadikan lokasi itu sebagai litar lumba haram.

Ini terbukti apabila polis menahan seramai 16 individu atas pelbagai kesalahan termasuk dadah dalam operasi membanteras samseng jalanan bermula pada 6.30 petang semalam.

Operasi berkenaan mendapat kerjasama anggota Agensi Anti Dadah kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menutup laluan kedua-dua arah di lebuh raya terbabit dan memeriksa seramai 501 individu.

“Daripada 455 motosikal yang diperiksa, sebanyak 468 saman dikeluarkan iaitu 370 daripada polis, JPJ (78) dan JAS (20).

“Seramai 11 mat rempit ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, empat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya dan undang-undang.

Katanya, ia bagi mengelakkan gelaja negatif sekali gus tidak menjadikan BORR sebagai litar lumba haram.

“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan memantau kegiatan anak mereka dan polis akan mempergiatkan operasi bagi menangani aktiviti berlumba di kawasan BORR,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 4:05 PM