AHMAD Sukari (duduk, tengah) melihat pameran sempena ECSNIR. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Sukari (duduk, tengah) melihat pameran sempena ECSNIR. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bersedia bekerjasama dengan hotel dan syarikat penerbangan dalam mempromosikan pelancongan kesihatan, khususnya pembedahan jantung di negeri ini.

Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Ahmad Sukari Halim berkata, pihaknya melihat peluang cerah dalam sektor itu apatah lagi hospitalnya mempunyai kepakaran dan peralatan canggih setanding hospital pakar yang lain.

"Ini peluang untuk melangkah ke peringkat lebih baik dan HUSM bersedia menawarkan pakej perkhidmatan yang menarik untuk pesakit yang juga pelancong di Kelantan.

"Perkara ini akan diteliti lebih mendalam lagi," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Persatuan Neuroradiologi dan Intervasional Radiologi Pantai Timur (ECSNIR) di HUSM Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Radiologi HUSM, Profesor Madya Dr Mohd Shafie Abdullah.

Seminar itu berlangsung dua hari ini bermula hari ini disertau pakar radiologi, pakar bedah jantung dan pakar kardiologi yang berkongsi maklumat mengenai teknologi terkini bidang berkaitan.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, penggunaan teknologi perbuatan terkini di kebanyakan hospital di Pantai Timur membolehkan kualiti perkhidmatan dipertingkatkan.

"Sebelum ini ramai pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di Lembah Klang, tapi HUSM membawa masuk teknologi perubatan terkini selain pakar untuk pesakit di negeri ini, sekali gus dapat mengurangkan kos perubatan.

"Kebanyakan pesakit yang datang mendapatkan rawatan di HUSM adalah dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII), Kota Bharu; Hospital Tanah Merah; Kuala Krai dan ada juga dari Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:39 PM