Pakar bedah dari United Kingdom di bawah projek Yayasan HLH dan HUSM Kubang Kerian melakukan pembedahan jantung kongenital terhadap seorang daripada tujuh kanak-kanak yang terpilih. FOTO Syamsi Suhaimi
Pakar bedah dari United Kingdom di bawah projek Yayasan HLH dan HUSM Kubang Kerian melakukan pembedahan jantung kongenital terhadap seorang daripada tujuh kanak-kanak yang terpilih. FOTO Syamsi Suhaimi
Mohamad Zulhairie Manzaidi


KEHADIRAN lapan pakar Kardiotorasik (pembedahan jantung) Pediatrik dari Hospital Kanak-Kanak Diraja Scotland memberi sinar baru kepada kanak-kanak yang menghidap jantung berlubang di negeri ini.

Pakar Kardiologi Pediatrik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Dr Mohd Rizal Mohd Zain berkata, projek kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Persatuan Alumni Doktor USM (PADUcare) bersama Yayasan ‘Healing Little Hearts’ (HLH) diadakan sejak lapan tahun lalu.

Katanya, HLH diasaskan oleh pakar bedah, Dr Sanjiv Nichani dari Hospital Glenfield, Leichester, United Kingdom.

"Program yang dilaksanakan ini memberi sinar hidup baru kepada kanak-kanak yang menghidap jantung berlubang sejak dilahirkan.

"Mereka bergerak secara sukarela dan mendapat bantuan kewangan menerusi derma oleh orang ramai kepada Yayasan HLH," katanya ketika ditemui selepas penyerahan cek sumbangan peralatan pembedahan di Auditorium Perubatan Nuklear, Jabatan Farmasi Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, hari ini.

Beliau berkata, kedatangan doktor pakar itu ke HUSM adalah kali kelima sejak ditubuhkan.

Katanya, ramai kanak-kanak yang dibantu dan hingga hari ini dianggarkan seramai 46 pesakit jantung sudah diselamatkan.

"Mereka berada di negara ini selama lima hari saja, dan setiap hari, dua pembedahan akan dilakukan. Walaupun begitu, ia mampu menjimatkan masa ramai pesakit yang terpaksa menunggu sehingga dua tahun untuk menjalani pembedahan.

"Hal ini kerana, di negara kita perkhidmatan kardiotorasik pediatrik sangat terhad dan dua hospital saja yang menawarkan perkhidmatan itu iaitu Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur dan Hospital Serdang, Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 5:57 PM