Hafiz Ithnin

Affin Islamic Bank Bhd (AFFIN ISLAMIC) memperkenalkan AFFIN Barakah Charity Account-i iaitu produk inovatif yang berlandaskan prinsip Wadiah dengan ciri-ciri unik untuk memberi kemudahan kepada pelanggan membuat simpanan dan menderma pada masa sama mengikut kehendak serta kemampuan masing-masing.

Melalui AFFIN Barakah Charity Account-i, penyimpan berpeluang menderma sebahagian atau keseluruhan Hibah bulanan jika ada yang diperoleh untuk tujuan kebajikan. Jumlah sumbangan akan dipotong mengikut kemahuan penyimpan dan boleh dibuat secara terus menerusi akaun simpanan pelanggan setiap bulan.

Penyimpan juga diberi kemudahan menukar jumlah yang didermakan pada bila-bila masa dengan menandatangani Surat Kebenaran bagi mengesahkan jumlah Hibah sekiranya ada yang diperoleh untuk didermakan.

Akaun ini terbuka kepada individu dari pelbagai bangsa dan agama. Untuk membuka akaun AFFIN Barakah Charity Account-i, pelanggan boleh membuat deposit minimum sebanyak RM100. Kemudian, AFFIN ISLAMIC akan menguruskan proses pentadbiran termasuk mengenalpasti badan kebajikan yang sesuai untuk menyalurkan dana dikumpul bagi memastikan penyimpan membuat “Simpan & Derma” dengan mudah dan lancar.

Badan-badan kebajikan yang dipilih turut merangkumi golongan berlainan bangsa dan agama. Pelbagai manfaat bakal diperoleh setelah membuka akaun AFFIN Barakah Charity Account-i kerana ia adalah satu platform untuk penyimpan menyalurkan keprihatinan mereka dengan mudah kepada sesiapa sahaja walaupun berlainan agama.

AFFIN Barakah Charity Account-i tidak hanya menerima penyimpan beragama Islam malah terbuka kepada semua penganut agama mahupun bangsa. Selain itu, penyimpan berpeluang membantu mereka yang memerlukan secara mudah dan konsisten melalui sumbangan peratusan Hibah yang dipersetujui.

Melalui wang tabungan AFFIN Barakah Charity Account-i, setiap wang sumbangan diperoleh disalurkan kepada badan kebajikan yang dipilih oleh AFFIN ISLAMIC. Pada 19 Oktober lalu, AFFIN ISLAMIC menyumbangkan 50 kerusi roda sejumlah RM18,500 kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selain HKL, wang tabungan menerusi AFFIN Barakah Charity Account-i turut disumbangkan kepada Persatuan Pesakit Parah Miskin Malaysia berjumlah RM18,437.45, ‘Selangor & Federal Territory Association for Mentally Handicapped’ (RM7,124.60), Rumah Kanak-Kanak Taiping (RM19,565.77), Yayasan Kanser Malaysia (RM18,360.50) dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kasih Autisma berjumlah RM20,000.

Jumlah keseluruhan yang disumbangkan kepada badan-badan kebajikan yang terpilih adalah sebanyak RM101,988. Untuk maklumat lanjut mengenai produk-produk AFFIN ISLAMIC, orang ramai boleh melayari laman web www.affinislamic.com.my atau kunjungi mana-mana cawangan AFFINBANK dan AFFIN ISLAMIC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:04 AM