Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia perlu bersama-sama dalam menyatakan pendirian untuk menghentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Banyak pihak menyuarakan rasa marah terhadap kerajaan negara itu dan simpati dengan nasib yang menimpa etnik muslim di Rakhine itu.

Penuntut luar negara, Nurshafiqah Zairina S Zamzaini, 25, berkata, golongan muda boleh menggunakan media sosial untuk menyatakan pendirian masing-masing.

"Apa yang berlaku sekarang tidak berperikemanusiaan dan sesiapa yang mempunyai hati dan perasaan tidak akan lakukan perkara itu.

"Saya percaya kerajaan kita perlu ambil pendirian tegas untuk menghentikan penindasan di sana. Saya setuju bahawa keahlian Myanmar dalam ASEAN perlu dikaji semula," katanya yang ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 hari ini.

Exco Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, 31, berkata, semua pihak tidak mengira agama dan bangsa perlu konsisten menyatakan kritikan terhadap isu ini.

"Ia bukan lagi pembunuhan disebabkan puak ekstrem tetapi ada laporan mengatakan bahawa ia pembunuhan beramai-ramai oleh negara berkenaan.

"Jadi kita perlu mendesak secara bersama melalui kerajaan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya kekejaman ini dihentikan," katanya.

Timbalan Pengarah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Small Changes Malaysia, Nur Ezlyni Eddy Azly, 20, berkata, setiap individu perlu mainkan peranan masing-masing untuk kukuhkan solidariti.

"Kita semua bersedih atas apa yang berlaku dan isu etnik Rohingya ini bukan perkara kecil kerana ia isu nasional dan semua orang perlu buka mata terhadap isu pembersihan etnik ini.

"Saya sarankan remaja dan semua agar kita tingkatkan ilmu pengetahuan kerana bila bersuara dengan ilmu, penyelesaian akan dapat dicapai," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO semasa Perhimpunan Agung Umno 2016 (PAU 2016) turut mengutuk kekejaman dilakukan terhadap etnik berkenaan.

Pemuda UMNO turut melancarkan kempen Save the Rohingyans seiring dengan pendirian ketuanya, Khairy Jamaludin yang mahu keanggotaan Myanmar dalam ASEAN dikaji semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 12:35 PM
EXCO Pemuda Umno, Shahril Hamdan, 31, mahu semua pihak konsisten menyatakan kritikan terhadap isu ini. FOTO Mior Azlan
EXCO Pemuda Umno, Shahril Hamdan, 31, mahu semua pihak konsisten menyatakan kritikan terhadap isu ini. FOTO Mior Azlan
TIMBALAN Pengarah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Small Changes Malaysia, Nur Ezlyni Eddy Azly, 20, gesa individu mainkan peranan masing-masing untuk kukuhkan solidariti. FOTO Mior Azlan
TIMBALAN Pengarah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Small Changes Malaysia, Nur Ezlyni Eddy Azly, 20, gesa individu mainkan peranan masing-masing untuk kukuhkan solidariti. FOTO Mior Azlan
PENUNTUT luar negara, Nurshafiqah Zairina S Zamzaini, 25, berkata, golongan muda boleh menggunakan media sosial untuk menyatakan pendirian masing-masing. FOTO Mior Azlan
PENUNTUT luar negara, Nurshafiqah Zairina S Zamzaini, 25, berkata, golongan muda boleh menggunakan media sosial untuk menyatakan pendirian masing-masing. FOTO Mior Azlan