KEADAAN pelarian  Rohingya yang masuk ke sempadan Bangladesh.
KEADAAN pelarian Rohingya yang masuk ke sempadan Bangladesh.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: “Selama ini kami tidak mendapat maklumat tepat mengenai keadaan mereka. Selepas berkunjung dan melihat dengan mata sendiri keadaan di sana baru sedar isu kemanusiaan itu lebih buruk daripada yang digambarkan.

“Kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar sukar digambarkan dengan kata-kata dan keadaan pelarian di beberapa kem di Bangladesh juga begitu menyayat hati,” kata wakil pertubuhan bukan kerajaan Turki, Yayasan Turkiye Diyanet, Clavijo Ibrahim Carlos.

Menurut Clavijo, isu jenayah kemanusiaan di Rohingya bukan membabitkan rantau ini saja, malah isu antarabangsa.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh bertoleransi dengan kekejaman yang tentera Myanmar lakukan terhadap etnik Rohingya dan semua pihak perlu bergabung tenaga menghalangnya.

“Jika semua bersatu tenaga dan suara, kita boleh mencari penyelesaian terhadap isu itu, sekali gus memberi sinar baru kepada pelarian Rohingya,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada Mesyuarat Strategik Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Serantau Mengenai Isu Rohingya di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras, semalam.

Bagi aktivis Baraka City Perancis, Matthew Marco, isu etnik Rohingya tidak boleh diselesaikan oleh NGO saja sebaliknya ia memerlukan campur tangan negara seluruh dunia.

Kata Marco, NGO hanya boleh membantu menghulurkan bantuan untuk jangka masa pendek seperti makanan, perubatan dan sebagainya tetapi masalah yang perlu diutamakan membabitkan soal kewarganegaraan.

“Dalam hal ini, semua (negara) perlu memberi tekanan supaya kerajaan Myanmar mengiktiraf etnik Rohingya sebagai rakyat mereka,” katanya.

Sementara itu, Exco Komiti Nasional Pemuda Indonesia (KNPI), Tengku Adnan Tengku Azlan berpendapat, pasukan khas yang lebih seragam dan berpusat untuk menangani isu Rohingya perlu diwujudkan.

Ini kerana kata beliau, apa yang berlaku terhadap masyarakat Rohingya adalah ujian untuk umat Islam di seluruh dunia dan semua pihak perlu mengetepikan perbezaan yang ada untuk bersama mencari jalan penyelesaian konkrit menangani konflik kemanusiaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 6:36 AM