BERSATU menentang kekejaman Myanmar ke atas etnik Rohingya.
BERSATU menentang kekejaman Myanmar ke atas etnik Rohingya.
Nasharuddin Muhammad

Ahad lalu satu lagi sejarah tercatat apabila dua pemimpin utama UMNO dan PAS yang sebelum ini berseteru boleh hadir di pentas sama dan atas tujuan sama iaitu menyatakan sokongan dan pendirian sama mengenai nasib yang menimpa umat Islam Rohingya di Myanmar yang berdepan tindakan kejam tidak berperikemanusiaan di negara mereka.

Biarpun kedua-dua parti politik itu tidak menjalinkan kerjasama dalam bidang politik, namun ternyata atas semangat solidariti agama, kedua-dua pemimpin berkenaan rela mengetepikan perbezaan politik masing-masing untuk berdiri di pentas sama bagi memberikan sokongan kepada etnik berkenaan.

Tindakan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuktikan betapa biarpun pernah berbeza pandangan, namun apabila keadaan memerlukan untuk mereka menyatakan pendirian yang satu, segala-galanya boleh diketepikan. Nyatalah atas kepentingan agama, mereka boleh bekerjasama biarpun tragedi yang menimpa etnik Rohingya bukanlah berkaitan agama, sebaliknya krisis kemanusiaan.

Dalam hal ini, kita berharap supaya tindakan kedua-dua pemimpin berkenaan tidak pula dijadikan polemik atau dipolitikkan oleh pihak yang mungkin kurang senang dengan tindakan mereka sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Hal itu kerana sebelum ini, sokongan tegas negara terhadap krisis kemanusiaan yang sedang berlaku itu dianggap pihak berkuasa Myanmar sebagai cubaan untuk campur tangan terhadap hal ehwal dalaman negara ini biarpun Najib sebagai Perdana Menteri menegaskan krisis itu jika tidak diselesaikan segera turut memberi kesan kepada negara khususnya limpahan kedatangan pendatang etnik berkenaan.

Seperti yang dinyatakan Najib dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu, krisis kemanusiaan yang berlaku di Myanmar itu tetap akan memberikan kesan buruk bukan saja kepada Malaysia, malah negara komuniti ASEAN lain, termasuk Thailand, Indonesia mahupun Singapura menyebabkan beliau sebagai ketua kerajaan perlu menyatakan pendirian sebagai tegas.

Setakat ini, hanya dua parti politik berkenaan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang sudah menyatakan pendirian dan sokongan masing-masing terhadap nasib yang menimpa etnik berkenaan.

Dalam hal ini, mungkin lebih baik jika kita sendiri tidak mampu atau tidak berani menyatakan sokongan secara terbuka kepada himpunan berkenaan dengan tidak menjadikannya sebagai polemik kerana isu Rohingya bukanlah isu politik atau agama, sebaliknya ia isu kemanusiaan.

Dalam konteks negara ini pula, mungkinkah kerjasama kedua-dua parti politik terbesar umat Melayu dan Islam itu dalam isu kemanusiaan seperti isu Rohingya sebagai permulaan untuk mereka bekerjasama dalam isu membabitkan umat Melayu dan agama Islam yang lebih besar pada masa akan datang. Hanya situasi yang akan menjadi penentunya.

Penulis Pengarang Politik Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 8:43 AM