Fong (kiri) dan Leong dibawa ke Mahkamah Majistret atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Fong (kiri) dan Leong dibawa ke Mahkamah Majistret atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pegawai keselamatan sebuah syarikat berusia 25 tahun di sebuah pusat hiburan, bulan lalu.

Tertuduh, Fong Ling Chiow, 20, dan Leong Zhong Hen, 19, faham akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin terhadap mereka.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dua rakan itu bersama-sama tiga lagi yang masih bebas didakwa menyebabkan kematian Na Kuan Yaw, 25, di sebuah pusat hiburan dekat Jalan Austin Height 8/2, Taman Mount Austin, Johor Bahru, 25 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kes yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Beliau berkata, susulan kejadian pergaduhan pada 2.30 pagi, 25 Ogos lalu itu, lima lelaki ditahan untuk siasatan lanjut.

"Pejabat Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan arahan tuduh ke atas dua daripada suspek yang ditahan, manakala tiga yang lain dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 2:05 PM