Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seorang Pegawai Imigresen Johor Bahru dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi, atas 12 pertuduhan memiliki cop Imigresen Malaysia bagi tujuan pemalsuan dan dua pasport warganegara asing, sembilan bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Farez Bujang, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 10 cop Imigresen Malaysia Bangunan Sultan Iskandar dan Jeti Stulang Laut, termasuk dua cop pas lawatan bagi tujuan pemalsuan.

Tertuduh turut didakwa memiliki dua pasport antarabangsa warganegara Filipina dan Nepal tanpa kuasa yang sah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM44,000 bagi semua pertuduhan itu dan menetapkan 14 Januari 2015 untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 1:18 PM