PENGAMBILAN makanan segera berlebihan mendatangkan risiko pelbagai penyakit.
PENGAMBILAN makanan segera berlebihan mendatangkan risiko pelbagai penyakit.
Siti Nadirah Hafidzin


Jom singgah beli burger. Wah! Banyaknya keju dalam hidangan baru itu, beli saja makanan di restoran makanan segera lebih mudah.

Itu antara dialog sinonim yang sering diucapkan kepada ahli keluarga mahupun rakan sekerja dalam kehidupan seharian.

Menikmati hidangan lazat serta pengambilan makanan segera secara tidak terkawal antara pilihan kebanyakan rakyat Malaysia terutama yang sentiasa sibuk dengan tuntutan tugas harian selain individu yang tidak mementingkan penjagaan kesihatan.

Memuaskan nafsu dengan menikmati pelbagai jenis makanan tempatan yang lazat hakikatnya bukanlah suatu kesalahan, namun disebabkan kebanyakan makanan itu tidak menyihatkan, justeru ia perlu diteliti sebelum pengambilannya.

Mungkin ramai berpendapat makanan yang sihat tidak menyelerakan, lazat dan hambar, namun tanggapan itu ternyata salah.

Pengambilan makanan yang tidak sihat serta gaya hidup tidak seimbang berkait rapat dengan penyakit diabetes yang menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia.

Tanggapan umum menyatakan penyakit itu hanya dapat dikesan dan dihidapi golongan dewasa atau individu yang memiliki lebihan berat badan juga tidak tepat sama sekali.

Hakikatnya, diabetes antara penyakit kronik paling kerap dihidapi kanak-kanak serta golongan muda selain menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia.

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2014 menunjukkan rakyat Malaysia dikategorikan sebagai antara rakyat paling ramai mempunyai masalah berat badan.

Lebihan berat badan selain tidak kerap bersukan menjadi antara penyebab utama penyakit diabetes mula menyerang.

Ketua Pegawai Perubatan Hospital Columbia Asia Bukit Rimau Dr Ng Lee Li berkata, kajian mendapati gaya hidup tidak seimbang, waktu bekerja yang panjang dan pengambilan makanan tidak terkawal menjadi risiko terbesar diabetes.

“Peningkatan jumlah individu yang menghidap diabetes setiap tahun amat membimbangkan dan ia perlu ditangani segera. Semuanya perlu dikawal terutama gaya hidup harian kerana ia mempengaruhi tahap kesihatan seseorang dan akhirnya individu itu disahkan menghidap diabetes,” katanya.

Menurutnya, kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit itu perlu lebih ditekankan kepada setiap individu dengan lebih serius.

“Jangan menganggap ia perkara remeh dengan meneruskan rutin harian tidak sihat terutama dari aspek pemakanan.

Lakukan senaman, makan secara sihat dan berjumpa pakar untuk sama-sama mengawal penyakit itu sekiranya anda mula mempunyai tanda kurang sihat,” katanya.

Sementara itu, Pakar Diet Columbia Asia Kong Woan Fei berkata, purata pengambilan gula dalam sehari bagi setiap individu ialah 11 sudu teh, namun kebanyakan rakyat Malaysia mengambil gula sehingga 24 sudu teh setiap hari.

“Angka itu amat membimbangkan kerana pengambilan gula tidak terkawal menyebabkan pelbagai risiko penyakit terutama diabetes. Justeru, setiap individu perlu sedar dan sayangi diri dengan menjaga pengambilan makanan setiap hari,” katanya.

Berikut tip daripada Kong untuk makan secara sihat bagi mengurangkan risiko diabetes juga kepada penghidap diabetes:

- Hadkan kemanisan minuman bagi membantu mencegah diabetes.

- Kiraan karbohidrat dan jumlah pengambilan karbohidrat lebih penting daripada jenis karbohidrat yang anda makan.

- Jangan meninggalkan karbohidrat walaupun anda pesakit diabetes kerana ia sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang.

- Buah-buahan boleh dikategorikan sebagai makanan mesra diabetes, tetapi perlu mengambilnya sebagai sebahagian daripada karbohidrat harian.

- Kawalan saiz hidangan adalah kejayaan utama dalam sebarang pelan pengurusan diet.

- Makan secara berlebihan berlaku kerana individu itu cenderung memuaskan nafsu seleranya.

- Makan sebahagian kecil daripada makanan yang anda suka.

- Keinginan untuk menikmati makanan masin akan berkurangan apabila anda mula mengurangkan pengambilan garam secara beransur-ansur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 1:14 PM