Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Selepas sebulan menahan lapar dan dahaga, kebanyakan masyarakat menganggap hari raya waktu terbaik untuk ‘membalas dendam’ yang membolehkan mereka makan tanpa kawalan.

Maklum saja, ketika hari raya pelbagai juadah lazat seperti rendang, kuah kacang, nasi impit, lemang serta kuih-muih menghiasi meja makan kediaman masing-masing.

Disebabkan ungkapan ‘balas dendam’ itu, ramai yang mengambil ringan mengenai kuantiti yang sepatutnya diambil ketika menjamah hidangan terutama bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Pakar Pemakanan Klinikal Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Nurathirah Abd Mu’as berkata, bagi pesakit yang menghidap penyakit kronik, beberapa perkara perlu diawasi.

“Seperti yang kita maklum pelbagai hidangan enak disediakan ketika rumah terbuka, jika pengambilannya tidak dikawal dengan baik dan teratur, ia boleh mengundang pelbagai penyakit.

“Pengambilan makanan berkarbohidrat dalam jumlah yang banyak dan masa makan yang tidak menentu boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak teratur seterusnya mengakibatkan pesakit boleh mendapat pelbagai komplikasi.

“Juadah seperti kuah rendang, sambal ikan bilis, kuah laksa dan lontong mengandungi kandungan garam dan lemak tepu yang tinggi. Oleh yang demikian, pesakit yang mempunyai masalah darah tinggi atau hipertensi perlulah mengawal pengambilan garam yang berlebihan,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, kaedah ‘My Plate’ sangat disarankan kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik. Makanan yang berkarbohidrat seperti bihun, mi, roti dimakan satu perempat daripada pinggan, sayur-sayuran dan buah-buahan memenuhi separuh daripada pinggan dan makanan berprotein juga separuh daripada pinggan.

“Jangan menambah jumlah kuantiti yang diambil. Hal ini dapat meningkatkan jumlah karbohidrat seterusnya meningkatkan paras gula dalam darah. Bagi mengelakkannya, minum air kosong dua gelas sebelum menikmati juadah yang disediakan.

“Pemilihan makanan sihat sangat penting. Ambil makanan yang kurang lemak seperti ketupat nasi berbanding lemang. Kalori bagi sepotong lemang 10 kali ganda berbanding satu kiub ketupat nasi,” katanya.

Selain itu, pengambilan kuah sate perlu dikurangkan dalam hidangan seperti gado-gado. pemilihan makanan lain misalnya acar, kerabu sayur, kuih kukus, buah-buahan segar dan asam laksa yang hanya mengandungi 250kcal untuk satu mangkuk kecil berbanding laksa kari yang mengandungi hampir 500kcal. Pilih makanan yang kurang berkuah kerana kandungan kalori, garam dan lemak yang tinggi.

“Elakkan memilih kekacang dan kerepek sebagai kudapan sebaliknya hidangkan dengan buah-buahan segar sebagai pencuci mulut.

Bagi individu sihat dan tiada penyakit, pengambilan makanan yang tinggi kalori secara berlebihan akan menyebabkan kenaikan berat badan mendadak.

“Individu obesiti berisiko tinggi untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, hipertensi, kanser dan penyakit jantung. Bukan tidak boleh ambil langsung, tetapi mestilah pada kuantiti sederhana dan tidak berlebihan,” katanya.

Ambil makanan dalam jumlah yang sedikit bagi setiap hidangan. Jangan penuhkan pinggan dengan makanan pada satu masa. Jika teringin, ambillah makanan yang belum dicuba selepas satu ketika.

Gunakan pinggan kecil kerana ia memberi tanggapan kepada minda bahawa anda menikmati makanan dalam jumlah yang banyak. Hadkan pengambilan ketupat dan lemang kerana makanan ini tinggi dengan kalori.

Apabila menyentuh sajian daging, tentunya terdapat pelbagai pilihan yang disediakan. Rendang rasanya lebih berlemak kerana terdapat penggunaan santan dan sangat sesuai dinikmati dengan nasi.

Pastikan anda mengawal kombinasi ini kerana ia agak berat untuk perut. Ambil banyak daging putih seperti ayam dan ikan manakala untuk daging merah seperti lembu dan kambing, ambillah secara sederhana.

Mengulas lebih lanjut, Nurathirah berkata, bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, namun masih mahu menikmati hidangan seperti individu biasa, elakkan mengambil makanan tinggi gula dan karbohidrat terutama bagi pesakit diabetes.

“Makanan ringan seperti kerepek dan kuah rendang atau berlemak harus dielakkan. Alternatif lain, boleh ambil isinya sahaja, tanpa kuah.

Kandungan garam dan bahan perasa dalam masakan berkenaan sangat tinggi dan mampu menjejaskan kesihatan anda.

“Bagi pesakit jantung pula, sebolehnya makan makanan yang dinasihatkan oleh doktor anda. Makanlah kuih raya yang sihat mengandungi oat berbanding kuih lain dalam kuantiti sederhana,” katanya.

Berikut adalah tip yang boleh digunakan semasa menghadiri rumah terbuka:

- Kurangkan gula, minyak dan lemak dalam penyediaan biskut dan kek. Gunakan satu perdua atau tiga perempat daripada kuantiti gula yang biasa digunakan semasa menyediakan biskut dan kek.

- Gunakan daging yang telah dibuang lemak atau ayam yang telah dibuang kulit.

- Kurangkan menyediakan makanan yang bersantan, bergoreng dan berminyak.

- Gantikan penggunaan santan dengan susu rendah lemak dalam penyediaan rendang atau kuah lontong.

- Potong ayam atau daging dalam saiz yang kecil.

- Gunakan ramuan tinggi serat untuk membuat biskut dan kuih raya seperti tepung bijirin penuh, oat dan buah prun.

- Kurangkan penggunaan pewarna tiruan dalam penyediaan kuih-muih, kek dan puding.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:00 AM