PENGUNJUNG memeriksa tekanan darah dan gula di Public Space dan Ruang Seminar NSTP Bangsar, Kuala Lumpur.
PENGUNJUNG memeriksa tekanan darah dan gula di Public Space dan Ruang Seminar NSTP Bangsar, Kuala Lumpur.
Redzuan Muharam


Tabiat makan nasi bertambah dan pengambilan makanan karbohidrat berlebihan berisiko meningkatkan paras gula dalam badan.

Profesor Perubatan dan Pakar Perunding Kanan Endrokrinologi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mafauzy Mohamed berkata, kesedaran awal perlu bagi mengelakkan penyakit yang salah satunya diabetes.

Menurut Dr Mafauzy, bukan hanya dewasa, tetapi kanak-kanak juga perlu dipantau kerana ada individu diserang diabetes seawal usia 11 dan 12 tahun.

"Punca utama diabetes adalah makan berlebihan dan punca utama gula dalam badan adalah karbohidrat.

"Justeru, kuantiti pengambilan makanan perlu dijaga kerana 95 peratus pesakit diabetes ada berat badan berlebihan.

"Pengambilan sayur-sayuran juga membantu dalam mengurangkan paras gula dalam darah," katanya selepas program Sembang Sihat: Menjaga Paras Gula, Nikmati Kemanisan Kehidupan di Public Space dan Ruang Seminar News Straits Times Press (NSTP) Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr Mafauzy berkata, senaman antara amalan yang membantu untuk mendapatkan badan sihat dan mengelak diabetes.

Bagaimanapun, Dr Mafauzy mengakui ada cabaran untuk amalkan diet seimbang kerana terlalu banyak makanan karbohidrat.

"Makan nasi boleh cuma sebaiknya amalkan diet seimbang suku-suku separuh.

"Kalau lapar, tambah sayur-sayuran bagi melambatkan gula masuk darah kerana sayur-sayuran ada vitamin dan mineral," katanya.

Katanya, ekstrak daun mulberi salah satu bahan yang boleh mengurangkan paras gula dalam badan.

"Ekstrak daun mulberi mengandungi alkaloid iminosugar di mana 1-deoxynojirimycin (DNJ) adalah yang paling banyak dan dianggap komponen aktif bertanggungjawab mengawal post pra dial glycemia," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Perubatan Sains Kesihatan Nestle, Lim Chin berkata, program sembang sihat itu diadakan bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengawal paras gula menerusi pengambilan makanan yang betul, di samping pengubahsuaian gaya hidup.

"Objektif program hari ini adalah mendidik dan beri penerangan mengenai apa itu diabetes.

"Ia selari dengan usaha Nestle yang turut mengeluarkan produk Nutren GlucoSmart yang diperbuat dengan esktrak daun mulberi, tidak mengubah rasa makanan dan mudah digunakan bila-bila masa di mana sahaja.

"Nutren GlucoSmart dijual awal tahun ini di farmasi serta mendapat sambutan baik," katanya.

Dalam pada itu, Chua Teck Hang, 67, dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor menyambut baik program sembang sihat itu kerana banyak ilmu bermanfaat diperolehnya.

"Program sebegini baik untuk pupuk kesedaran dan ingatkan kita betapa penting kesihatan kerana boleh mengelak diabetes.

"Saya sendiri amat menjaga kesihatan daripada usia muda lagi dan tidak beli gula langsung malah tiada bekalan itu di rumah," katanya.

Sarwida Abdul Rahman, 38, dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur pula berkata, dia turut serta dalam program berkenaan kerana berminat ambil tahu mengenai kesihatan.

"Program ini bagus kerana beri input cara pemakanan sihat dan kalau boleh diperbanyakkan lagi lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 6:45 AM