Zahidi (dua dari kiri) menyampaikan replika cek peruntukan pembangunan kepada Pengarah RISDA Perlis, Ramli Tumin (empat dari kiri) di Majlis Kasihi Pekebun dan Ramah Mesra Bersama Pengerusi RISDA di Dewan Seri Melati, Beseri, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Zahidi (dua dari kiri) menyampaikan replika cek peruntukan pembangunan kepada Pengarah RISDA Perlis, Ramli Tumin (empat dari kiri) di Majlis Kasihi Pekebun dan Ramah Mesra Bersama Pengerusi RISDA di Dewan Seri Melati, Beseri, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif dan Nurhartini Mohd Nasir


Padang Besar: Negeri di bahagian utara Semenanjung Malaysia seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis akan dijadikan sebagai perintis kepada penanaman herba baru dikenali sebagai Guarana dari Brazil bermula tahun hadapan.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, herba ini mampu dijadikan sebagai alternatif kepada tanaman ketum kerana menjanjikan pulangan lumayan kepada golongan pekebun kecil.

“Kita sudah melihat keberkesanannya terutama dalam kesihatan di mana herba Guarana sering dijadikan sebagai minuman tenaga terutama oleh syarikat minuman isotonik.

“Kita sudah menerima contoh baja herba tanaman ini dari negara berkenaan untuk diusahakan sebagai percubaan di sebidang tanah seluas 0.4 hektar di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kasihi Pekebun dan Ramah Mesra Bersama Pengerusi RISDA di Dewan Seri Melati, Beseri, di sini, hari ini.

Menurutnya, tanaman herba Guarana sudah dimulakan penanamannya pada peringkat percubaan, namun sejumlah besar benih yang diimport dari Brazil ke negara ini terpaksa ditahan dan dikuarantin Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (KPIAT) kerana didapati mempunyai masalah.

“Kita sudah mengimport benih ini untuk ditanam secara komersil di sini tetapi terpaksa menghadapi pelbagai prosedur daripada KPIAT kerana dikatakan herba ini juga berpotensi merosakkan tanaman lain ketika ditanam walhal itu belum dapat dibuktikan.

“Oleh itu, RISDA sendiri akan ke Sao Paulo pada awal Januari depan untuk membawa benih ini ke Malaysia bagi memastikannya dapat ditanam secara komersil,” katanya.

Beliau berkata, pekebun kecil yang melaksanakan penanaman herba Guarana dijangka mampu menambahkan pendapatan mereka apabila ia mampu menjana pendapatan sehingga RM100 bagi sekilogram herba berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 5:05 PM