ZAHIDI (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah pekebun kecil jaya 2015 Che Azmi Che Hassan selepas merasmikan Majlis Gerakan Peningkatan Produktiviti Peringkat Kelantan 2016 di Tanaman Semula Berkelompok Sungai Keladi, To’ Uban,  semalam.
ZAHIDI (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah pekebun kecil jaya 2015 Che Azmi Che Hassan selepas merasmikan Majlis Gerakan Peningkatan Produktiviti Peringkat Kelantan 2016 di Tanaman Semula Berkelompok Sungai Keladi, To’ Uban, semalam.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan meneruskan usaha mengkomersialkan tanaman pokok ketum jika kerajaan meluluskan, dengan mengambil kira nilai tumbuhan itu di pasaran.

Tumbuhan berkenaan boleh meningkatkan pendapatan pekebun kecil sebanyak lima kali ganda berbanding tanaman kelapa sawit dan getah.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, penilaian dibuat pihaknya mendapati nilai pokok ketum adalah sekitar RM1,000 bagi sehektar berbanding antara RM150 hingga RM300 sehektar untuk kelapa sawit dan getah.

Disebabkan itu, katanya, RISDA mahu pokok ketum ditanam pekebun kecil kerana sudah mempunyai permintaan dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk kegunaan musim sejuk bagi tujuan perubatan terutama ubat saraf.

“Negara berkenaan memberi tempoh sebulan ini dan jika Malaysia tidak mampu membekalkannya, mereka akan mencari sumber dari negara lain.

“Jika kerajaan mempertimbangkan, kita akan pastikan tanaman ketum ini dikawal dengan sebaik mungkin dan hanya untuk eksport luar negara secara sah.

“Kita memang komited membantu menambah pendapatan pekebun kecil di samping hasil komoditi getah dan kelapa sawit,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Gerakan Peningkatan Produktiviti Peringkat Kelantan 2016 di Tanaman Semula Berkelompok Sungai Keladi, To’ Uban, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah RISDA Mohd Najib A Samad dan Pengarah RISDA Kelantan Rusly Yaacob.

Mengulas lanjut, Zahidi Zainul berkata, beliau sedar kesukaran untuk kerajaan membenarkan tanaman itu dikomersialkan terutama apabila beberapa agensi menentang keras termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selain ia juga tersenarai dalam Akta Racun 1952.

Bagaimanapun, katanya, keputusan muktamad daripada Kabinet sendiri hasil perbincangan semua pihak secara teliti dan pihaknya akan akur setiap ketetapan itu.

“Kita perlu melihat daripada sudut positif isu tanaman ketum ini. Ia bagi tujuan perubatan dan akan memperbaiki kehidupan pekebun kecil bagi memberi peluang mereka mendapatkan pendapatan yang tinggi.

“Tak boleh tengok sudut negatif saja seperti mendatangkan ketagihan kepada pengguna.

“Jika kerajaan tidak setuju dengan tanaman ini, kita akur dan akan mencari alternatif lain bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Katanya, seramai 388,000 daripada 530,000 pekebun kecil di negara ini mendapat bantuan kerajaan dan mereka perlu dibimbing untuk meningkatkan pendapatan sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 7:30 AM