ABU Bakar (tengah) menyaksikan Rozairi (kiri) dan Ibrahim Yahaya bertukar MoU. FOTO Amir Irsyad Omar
ABU Bakar (tengah) menyaksikan Rozairi (kiri) dan Ibrahim Yahaya bertukar MoU. FOTO Amir Irsyad Omar
Zuhainy Zulkiffli


RITZ Biotechnology Development Sdn Bhd kini dalam usaha bagi memasarkan tepung yang dihasilkan daripada tanaman herba, guarana atau 'Paulinia Cupana' yang mempunyai ciri sama dengan tepung gandum tetapi mempunyai lebih khasiat tersendiri.

Tepung yang bakal memasuki pasaran pada Ogos depan itu dijangka yang pertama di dunia.

Pengarah Urusannya, Datuk Ibrahim Yahaya, berkata produk berkenaan juga sesuai digunakan dalam masakan termasuk penghasilan kek dan kuih serta harganya yang tidak jauh berbeza dengan tepung gandum.

Katanya, biji guarana yang dijadikan tepung itu mempunyai khasiat termasuk boleh membakar lemak, meningkatkan tenaga, memulihkan tekanan darah rendah serta cirit birit dan lain- lain lagi.

"Tumbuhan herba berkenaan memang sudah terkenal di negara Brazil dengan pelbagai produk kesihatan yang dihasilkan daripada guarana.

"Malah di negara berkenaan, tepung ini hanya dibuat dan dimakan dalam kalangan penduduknya sahaja serta tidak dikomersialkan, dan ini adalah peluang terbaik bagi Malaysia mempelbagaikan produk keluarannya," katanya dalam sidang media di Georgetown, hari ini.

Ibrahim ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Ritz Biotech bersama syarikat di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) iaitu Institut Bioteknologi Malaysia (NIBM).

ABU Bakar (tengah) menyaksikan Rozairi (kiri) dan Ibrahim Yahaya bertukar MoU. FOTO Amir Irsyad Omar
ABU Bakar (tengah) menyaksikan Rozairi (kiri) dan Ibrahim Yahaya bertukar MoU. FOTO Amir Irsyad Omar

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif NIBM, Rozairi Muhammad dengan Ibrahim, sambil disaksikan oleh Pengerusi NIBM merangkap Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Menurut Ibrahim lagi, selain tepung, Ritz Biotech juga dalam usaha bagi mengeluarkan produk lain berasaskan guarana seperti produk kesihatan dan kecantikan serta minuman tenaga tersendiri.

Katanya, manfaat produk daripada tumbuhan itu bukan sahaja sesuai bagi pasaran domestik malah di peringkat antarabangsa dan faktor iklim khatulistiwa yang menyamai cuaca di Brazil juga memudahkan penanamannya di negara ini.

"Kita sudah membekalkan benih kepada pekebun kecil di lima lokasi di Malaysia pada tahun lalu dan hasilnya akan dituai pada penghujung tahun ini dengan nilai kira-kira RM1.8 juta.

"Di Malaysia, kita mempunyai 9.307 hektar kebun penanaman guarana iaitu masing-masing 2.023 hektar di Nami, Sik, Kedah; Segamat, Johor; Raub, Pahang; dan Pinang Tunggal, Pulau Pinang manakala 1.214 hektar lagi di Sungai Ara, Pulau Pinang," katanya lagi.

Turut diadakan pada majlis itu ialah perasmian 'Ritz-NIBM Guarana Centre of Excellence' yang memfokuskan kepada aktiviti kajian, pembangunan, inovasi dan pengkomersilan (RDIC) tumbuhan herba terbabit.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, usaha ini secara tidak langsung dapat membantu pekebun kecil yang menjalankan tanaman secara kotrak dengan Ritz Biotech.

“Usaha ini mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka selain dapat wujudkan usahawan yang dapat menembusi pasaran antarabangsa dengan produk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 10:57 PM