Yusliza Yakimir Abd Talib


Hidup ini penuh dengan halangan dan kesukaran yang digambarkan dalam koleksi musim bunga dan panas 2017 Hatta Dolmat sebagai ‘duri’.

Koleksi terbaru pereka fesyen tempatan itu menerangkan kegelapan dan kesempitan hidup yang menghalang seseorang dalam mencapai kejayaan, tetapi pada akhir perjalanan akan sentiasa menjadi cahaya yang terang.

Satu analogi mudah, mawar penuh dengan duri, tetapi pengendalian yang halus boleh menghasilkan jambangan bunga yang indah.

Ini diilhamkan menerusi koleksi sedia dipakai (RTW) HATTAHIM 2017 yang dihiasi duri sebagai motif yang menyembunyikan kecantikan.

Koleksi seakan-akan ‘gothic’ ini menjelaskan sentimen bahawa tiada jalan pintas dalam kehidupan untuk mencapai kejayaan. Duri mengingatkan kita mengenai kesusahan dan satu-satunya jalan keluar daripadanya adalah menghadapinya sendiri.

Dari segi bahan dan warna, bahan bernafas sesuai dengan cuaca Malaysia seperti kapas, neoprena, juga denim digunakan dalam koleksi ini. Fabrik dicetak dengan karya seni asli HattaDolmat menguasai koleksi ini dengan gambaran duri dan bunga untuk mewakili ‘yin’ dan ‘yang’ atau keseimbangan dalam hidup.

Koleksi ini berani dan meyakinkan, tetapi penuh dengan estetik fesyen. Putih dan hitam sebagai warna asas, tetapi hijau, biru dan merah turut melengkapi koleksi ini. Perincian kulit dan zip menambah kemewahan ke pakaian kasual dan gaya jalanan ini.

Terdapat hampir 100 rekaan dalam koleksi ini daripada seluar pendek dan panjang, baju, kemeja-T lengan pendek dan panjang, jaket, jaket bomber, jaket hoody, sut dan overall.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 10:28 AM