Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar (kiri) dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad, mengumumkan pengagihan pendapatan ASB 6.75 sen seunit dan ASN 5.00 bagi pendapatan ASB dan ASN 2016. FOTO Rosela Ismail
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar (kiri) dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad, mengumumkan pengagihan pendapatan ASB 6.75 sen seunit dan ASN 5.00 bagi pendapatan ASB dan ASN 2016. FOTO Rosela Ismail
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini, mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi skim Amanah Saham Bumiputera (ASB), untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember ini.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, peruntukan agihan pendapatan ASB itu membabitkan pembayaran sebanyak RM10.3 bilion.

"Pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 9 juta pemegang unit yang melanggan lebih 143 bilion unit ASB," katanya pada majlis pengumuman agihan pendapatan ASB di sini, hari ini.

Sementara itu, ASNB turut mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi skim Amanah Saham Nasional (ASB), bagi tahun kewangan yang sama.

Jumlah pengagihan sebanyak RM92.86 juta akan dimanfaatkan oleh 1.2 juta pemegang unit yang melanggan lebih daripada 1.85 bilion unit ASN.

Abdul Wahid berkata, 2016 adalah tahun mencabar di mana sehingga 30 November 2016 lalu, indeks saham utama FBM KLCI mencatatkan pulangan keseluruhan -1.7 peratus.

Beliau berkata, PNB menjangkakan ketidaktentuan pada masa ini akan berterusan bagi 2017.

"Bagaimanapun, dalam keadaan berwaspada, PNB tetap optimis terhadap peluang yang ada dalam usaha memberi pulangan yang kompetitif kepada pemegang unit.

Tahun lalu ASNB mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan ASB sebanyak 7.25 sen seunit dan bonus 50 sen seunit.

Semua urus niaga bagi ASB dan ASN ditangguhkan pada 22 Disember 2016 sehingga 2 Januari 2017 untuk tujuan pengiraan pendapatan.

Urus niaga akan berjalan seperti biasa bermula 3 Januari 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 2:44 PM