AFP

Glasgow: Lionel Messi meledak dua gol sekembalinya ke dalam skuad utama Barcelona untuk mengesahkan slot ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Celtic 2-0, awal pagi tadi.

Messi yang terlepas aksi Sabtu lalu ketika seri tanpa jaringan dengan Malaga kerana demam, membuka jaringan minit ke-24 untuk Barca mendahului permainan sebelum kapten yang mencipta hatrik sewaktu membelasah Malaga 7-0, memastikan kemenangan mutlak dengan jaringan penalti minit 56.

Kemenangan itu meletakkan mereka pendahulu Kumpulan C dengan 12 mata daripada lima perlawanan.

Dalam aksi kumpulan sama, Manchester City turut mara ke pusingan kalah mati sekali pun seri dengan Borussia Monchengladbach.

“Perlawanan agak sukar kerana kami sudah menjangka Celtic akan memberi saingan sengit di gelanggang mereka,” kata pengurus Luis Enrique.

“Benteng kelihatan kukuh dan rentak persembahan semakin baik sepanjang perlawanan. Ini adalah kumpulan sukar dan saya gembira kami mendahului kumpulan dengan baki satu perlawanan lagi”.

Selain kecederaan Andres Iniesta, Barcelona membariskan kesebelasan utama dengan Luis Suarez dan Messi kembali ke padang selepas penggantungan perlawanan serta demam untuk melengkapkan trio pemusnah bersama-sama Neymar.

Celtic bermula dengan strategi permainan ketat namun itu belum cukup untuk mengikat kelincahan Neymar yang bijak melorongkan bola kepada Messi untuk meledak gol menewaskan penjaga gol tuan rumah Craig Gordon minit ke- 24.

Tandukan mengelirukan Suarez hampir memastikan gol kedua Barca namun Gordan pantas menyelamatkan keadaan. Tetapi bintang Uruguay itu akhirnya menghadiahkan sepakan penalti selepas dijatuhkan pemain pertahanan Emilio Izaguirre untuk Messi melengkapkan gol ke-502 gergasi Catalan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 12:41 PM