PEMBANTU makmal Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohamad Farhan Mohamad Daud menunjukkan gentian hasil daripada daun nanas.
PEMBANTU makmal Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohamad Farhan Mohamad Daud menunjukkan gentian hasil daripada daun nanas.
PELAJAR Latihan Industri Hortikultur Ayer Hitam, Johor, Nur Amirah Zaini (kiri) menunjukkan buah durian Belanda yang dihasilkan melalui inovasi muricata shaker kepada pengunjung.
PELAJAR Latihan Industri Hortikultur Ayer Hitam, Johor, Nur Amirah Zaini (kiri) menunjukkan buah durian Belanda yang dihasilkan melalui inovasi muricata shaker kepada pengunjung.
Mohamad Hussin

Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) 2016 diharap mampu menambah baik serta meningkatkan produktiviti berterusan bagi memastikan bekalan makanan negara terjamin.

Ia selari dengan tema Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA 2016) iaitu Makanan Kita, Masa Depan Kita atau #OurFoodOurFuture.

Tema ini memaparkan fokus kerajaan terhadap kepentingan makanan kepada negara. Transformasi sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani (IAT) membabitkan aspek inovasi dan teknologi terkini.

Peningkatan produktiviti berterusan menggunakan sumber yang terhad hanya boleh dicapai menerusi satu cara, iaitu dengan inovasi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Nogeh Gumbek berkata, inovasi hasil cetusan idea kreatif dan inovatif dalam dalam aspek pekerjaan dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti kepada organisasi.

Beliau berkata, cetusan idea berkenaan meliputi pelbagai aspek dan boleh merangkumi perubahan dalam bentuk sistem dan prosedur, kaedah dan cara bekerja mahupun pengenalan teknologi.

“Hasil pelaksanaan idea inovasi akhirnya dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan khususnya MOA serta jabatan dan agensi di bawahnya.

“Dalam konteks sektor awam, sesuatu inovasi seharusnya dapat memberi manfaat kepada rakyat dan dapat memberi nilai tambah kepada keadaan sedia ada.

“Saya akui membudayakan inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam bukan perkara mudah. Ia isu dan persoalan kompleks. Ia bukan sekadar ungkapan dasar semata-mata, tetapi komiten semua pihak,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Inovasi MOA di Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha MOA Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Nogeh berkata, pengurusan tertinggi MOA akan sentiasa memberi sokongan terhadap program inovasi seperti Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

“Dalam mencari kaedah baru dalam melaksanakan sesuatu, kita perlu kreatif dan inovatif dalam apa sahaja yang dilakukan supaya dapat memberi nilai tambah.

“Nilai tambah inilah yang sebenarnya membezakan kita dengan orang lain, sama ada dari segi kualiti perkhidmatan, pengeluaran dan permintaan terhadap produk atau perkhidmatan yang disampaikan.

“Membudayakan inovasi dan kreativiti dalam tindakan, pemikiran dan jiwa penjawat awam. Ia mesti digalakkan dan benarkan ia dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, wujudkan ruang untuk kakitangan awam meneroka idea di luar kelaziman dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

“Jangan terlalu tertutup dan terikat dengan cara lama. Budaya perkhidmatan awam mesti berubah. Kita mesti berani mengambil risiko, berani mencuba sesuatu yang baru dan berani mengambil tanggungjawab kolektif.

“Ke arah merealisasikan matlamat ini, usaha pembudayaan inovasi dan kreativiti perlu dipupuk dan dihayati. Ia diakui dapat memainkan peranan besar dalam pembangunan negara dan juga penggerak kepada inisiatif baru kerajaan.

“Ketua bahagian dan jabatan diminta merangka strategi bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif serta menggalakkan persaingan sihat bagi menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi organisasi masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Nogeh berkata, MAHA 2016 kali ini akan menonjolkan pelbagai aspek inovasi termasuk dalam bidang pertanian, mekanisasi, teknologi maklumat dan sebagainya.

MAHA 2016 anjuran MOA akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 1 hingga 12 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 11:05 AM