KUMPULAN Thrive johan bagi kategori teknikal.
KUMPULAN Thrive johan bagi kategori teknikal.
KUMPULAN Xpert johan kategori pengurusan.
KUMPULAN Xpert johan kategori pengurusan.
KUMPULAN Revolusi.
KUMPULAN Revolusi.
KUMPULAN Evolutive.
KUMPULAN Evolutive.
JURI membuat penilaian.
JURI membuat penilaian.
ANTARA inovasi dan kreativiti yang dipamerkan.
ANTARA inovasi dan kreativiti yang dipamerkan.
Oleh Mohamad Hussin

Majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) diadakan di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Konvensyen KIK itu disertai 10 kumpulan yang mewakili setiap bahagian di dalam MADA dan diadili dua juri dari Pusat Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Utara dan konsultan KIK CEKS.

Bahagian Perkhidmatan Empangan dan Sumber Air (BPESA) MADA serta Bahagian Perancangan dan Teknologi Maklumat (BPTM) MADA, masing-masing menjadi johan pada majlis berkenaan.

BPESA yang menjenamakan kumpulan mereka sebagai Thrive menjadi johan bagi kategori teknikal manakala BPTM pula sebagai kumpulan Xpert johan bagi kategori pengurusan.

Kedua-dua kumpulan terbabit akan mewakili MADA ke majlis konvensyen KIK peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang akan diadakan pada 8-10 September ini.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan membina mercu tanda rakyat berinovasi yang memerlukan pengisian signifikan dan bererti.

Selain itu, ia bagi mengiktiraf mereka yang cemerlang dan terbaik dalam melaksanakan projek yang berinovatif serta kreatif.

Pengurus Besar MADA Md Zuki Ismail berkata, sejak tahun 2009, kerajaan mengarahkan semua kementerian, jabatan dan agensi supaya melaksanakan projek dalam kumpulan yang kecil yang dinamakan sebagai KIK.

Beliau berkata, dalam merealisasikan matlamat ini, usaha pembudayaan inovasi dan kreativiti perlu dipupuk dan dihayati.

“Ia diakui dapat memainkan peranan besar dalam pembangunan negara dan penggerak kepada inisiatif baru Kerajaan.

“Dalam melaksanakan projek berimpak tinggi serta faedahnya kepada masyarakat amat digalakkan.

“Selain itu, majlis ini juga diadakan bagi memberi motivasi dan perangsang supaya semua warga MADA terus berusaha meningkatkan keupayaan diri melalui projek yang dilaksanakan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA Fouzi Ali dan Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA Ir Hor Tek Lip.

Md Zuki berkata, konvensyen itu juga diadakan bagi menggalakkan percambahan idea dalam mencetus inovasi dan kreativiti.

“Ledakan teknologi moden dalam pelbagai bidang diharapkan dapat diterima dan sentiasa bersedia untuk melakukan perubahan minda bagi melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai mengikut kemampuan masing-masing.

“Sesuatu projek yang berinovatif tidak semestinya bernilai jutaan ringgit, tetapi hanya sedikit inovasi yang dilakukan kerana dapat memudahkan orang ramai dalam penggunaan seharian.

“Saya yakin, warga MADA yang menyertai KIK akan dapat menerapkan amalan terbaik dalam aspek pengurusan dan pelaksanaan kerja,” katanya.

Menurutnya, konvensyen ini juga antara landasan terbaik dalam meningkatkan semangat kerja berpasukan kalangan warga MADA.

“Dengan adanya KIK ini akan memberi faedah kepada semua pihak bukan saja kepada anggota MADA malah kepada organisasi MADA sendiri seperti meningkatkan daya saing organisasi.

“Ia juga membolehkan organisasi menghasilkan satu sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, memupuk kerjasama dalam kalangan warga organisasi, meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan.

“Selain itu, ia menjana kecemerlangan organisasi melalui pendekatan KIK, menyemai dan menerapkan nilai etika kerja yang positif,” katanya.

Md Zuki berkata, secara dasarnya, program KIK ini menyediakan teknik untuk menyelesaikan masalah yang wujud dalam organisasi yang juga merangkumi kaedah untuk membolehkan ahli KIK bertindak secara kreatif dan inovatif.

“Ia bagi menghasilkan sesuatu yang baru atau dalam bentuk baru melalui kemahiran imaginasi yang membawa kepada peningkatan perkhidmatan di jabatan, agensi dan organisasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 11:03 AM