GAMBAR hiasan. FOTO Eiziri Shamsudin
GAMBAR hiasan. FOTO Eiziri Shamsudin
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Kementerian Pendidikan menetapkan keputusan 3A dan 3B sebagai syarat baru bagi pengambilan Tingkatan Satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamed Yusof berkata, perubahan syarat itu diambil kira berdasarkan pelaksanaan kurikulum dan format peperiksaan baru Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.

"Bagaimanapun, kedudukan pemilihan dan penetapan murid di SBP tidak bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata kerana kita juga akan menganbil kira skor merit akademik serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

"Malah, pentaksiran sekolah dan pentaksiran psikometrik juga akan dijadikan sebagai rujukan utama dalam saringan pemilihan murid ke SBP," katanya pada sidang media selepas Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Microsoft Malaysia (Microsoft) di sini, hari ini.

Perjanjian disaksikan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan; Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon; dan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Seri Alias Ahmad.

Khair berkata, Kementerian juga akan mengambil kira komponen Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Psikometrik (Ppsi) yang terletak di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi mengisi 9,000 tempat di 69 SBP seluruh negara.

"Sehingga kini kita sudah menerima kira-kira 60,000 permohonan secara dalam talian bagi kemasukan tingkatan satu ke SBP pada tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 6:37 PM