GAMBAR hiasan. FOTO Rasul Azli Samad
GAMBAR hiasan. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Roji Kawi


SARAWAK menyokong penuh keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membatalkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, KPM membuat keputusan itu selepas berbincang dengan semua kerajaan negeri.

Beliau berkata, begitu juga dengan keputusan untuk menangguhkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke suku pertama tahun depan.

“Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, mengadakan perbincangan menerusi sidang video dengan menteri dan EXCO pendidikan semua negeri serta pegawai eksekutif yang bertanggungjawab dalam pendidikan minggu lalu untuk mendapatkan maklum balas sebelum mengumumkan keputusan itu.

“Itu keputusan yang tepat. Dr Mohd Radzi mengatakan itu perlu dilakukan kerana kesihatan murid dan pelajar adalah keutamaan ketika Covid-19 melanda. Kami sepenuhnya setuju dan menyokongnya,” katanya dipetik menerusi laporan The Borneo Post, hari ini.

Manyin bagaimanapun berharap kaedah alternatif yang akan digunakan oleh KPM untuk menilai calon UPSR dan PT3 tahun ini akan dilakukan secara adil.

“Kami belum tahu apa kaedah yang digunakan, tetapi berharap mereka akan mengambil kira golongan yang betul-betul layak untuk memasuki kelas sains di tingkatan empat dan seterusnya, termasuk untuk memilih mereka untuk memasuki sekolah teknik dan vokasional.

“Bagi mereka yang sepatutnya menduduki UPSR, saya rasa prestasi berasaskan sekolah dapat digunakan untuk memilih mereka bagi memasuki sekolah berasrama penuh, Sekolah Menengah Agama Kebangsaan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),” katanya.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, beliau bersetuju dengan keputusan KPM kerana selain peperiksaan pusat yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, ada tiga lagi komponen pentaksiran yang boleh diguna pakai.

“Tiga komponen penilaian itu ialah Pentaksiran Bilik Darjah, Pentaksiran Psikometrik serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum.

“Oleh itu, walaupun ujian pusat UPSR dan PT3 tidak dilaksanakan, prestasi pendidikan murid tahun enam dan tingkatan tiga masih boleh diukur melalui tiga komponen pentaksiran sedia ada,” katanya dihubungi hari ini.

Fatimah berkata, bagi pemilihan ke sekolah khas seperti sekolah berasrama penuh, sekolah vokasional dan juga untuk tawaran biasiswa, ujian khas perlu diadakan oleh KPM.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 3:37 PM