KOKAIN yang dibungkus menyerupai coklat. Nasirudin (gambar kecil) ditahan di Manila.
KOKAIN yang dibungkus menyerupai coklat. Nasirudin (gambar kecil) ditahan di Manila.


Manila: Seorang lelaki warga Malaysia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) di sini selepas cuba menyeludup 4.6 kilogram kokain yang disembunyikan dalam tin coklat pada Isnin lalu.

Nasiruddin Mohammad Hasnan, 22, ditahan pihak berkuasa NAIA ketika baru tiba di negara itu dengan menaiki sebuah penerbangan dari Togo.

Pemeriksaan pada beg yang dibawa suspek menemui sembilan tin yang mengandungi 216 bungkusan seperti coklat yang kemudian disahkan sebagai dadah jenis kokain.

Menurut portal berita Inquirer.net, kokain gred tinggi seberat 4.6 kilogram itu dianggarkan bernilai 23 juta peso (RM2.03 juta).

Jurucakap imigresen Filipina, Jaime Morente berkata, sebelum Nasiruddin tiba di Manila, pihaknya menerima maklumat dari Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat mengenai seorang pembawa dadah dari Togo.

Daripada rekod imigresen, suspek menaiki penerbangan Ethiopian Airlines dari Togo di mana dia tinggal selama sehari di situ.

Sebelum itu, dia pergi ke Addis Ababa dengan menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur.

“Suspek hanya membawa sebuah bagasi bimbit dan ditahan di NAIA ketika cuba menaiki teksi,” katanya.

Ketika disoal siasat, suspek mengaku tidak tahu mengenai dadah di dalam tin coklat berkenaan dan memberitahu dia kali pertama datang ke Filipina.

Suspek yang berasal dari Johor itu mendakwa bekerja sebagai pencuci kereta dan membeli tin coklat berkenaan ketika melawat Bangkok, Thailand. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 6:49 PM