Mohd Azhar Yahaya mengangkat tangan Khairul Ikmal Hakim yang menjuarai kejohanan roket air peringkat Asia Pasifik ketika sambutan kepulangan kontinjen Malaysia di klia2. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Mohd Azhar Yahaya mengangkat tangan Khairul Ikmal Hakim yang menjuarai kejohanan roket air peringkat Asia Pasifik ketika sambutan kepulangan kontinjen Malaysia di klia2. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Pengalaman menyertai pelbagai kejohanan roket air di peringkat negeri dan kebangsaan cukup berharga buat seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi Pulau Tuba, Langkawi apabila dia dinobatkan juara di Kejohanan Roket Air Peringkat Asia Pasifik yang berlangsung di University of The Philippines, Los Banos, Laguna, Filipina pada 11 hingga 13 November lalu.

Kejayaan diraih oleh Khairul Ikmal Hakim Nurisyam, 14, itu mengulangi kejayaan pasukan negara pada kejohanan sama di Tokyo, Jepun dua tahun lalu.

Lebih manis, kejayaan itu diperoleh Khairul Ikmal pada penyertaan kali pertamanya di kejohanan peringkat antarabangsa, malah kemenangan itu tidak mudah kerana dia perlu bersaing dengan 57 peserta dari 12 buah negara.

Dia yang ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) tadi berkata, kemenangan itu tidak mudah namun, dia berterima kasih kepada semua pihak terutama gurunya diatas tunjuk ajar untuk menghasilkan roket air yang baik dan sempurna.

"Setiap roket air yang dihasilkan perlu mematuhi beberapa faktor terutama ketepatan ketumpatan air, dongakan pelancaran dan reka bentuk roket.

"Setiap peserta diberi satu peluang latihan dan dua percubaan dimana saya memenangi kejohanan itu pada percubaan kali kedua dengan jarak 1.5 meter," katanya.

Katanya, kejayaan itu membolehkan dia membawa pulang replika roket H-IIB Launch Vehicle sumbangan Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun (JAXA); pembesar suara mudah alih tanpa wayar; power bank; sijil kecemerlangan dan hadiah iringan.

Malaysia menghantar empat wakil pada kejohanan itu iaitu rakan sekolah Khairul Ikmal, Rohaizad Zarain selain dua pelajar dari Sekolah Menengah Tinggi Kajang, P Hariharan dan Amir Haziq Noor Alif Wira.

Ketibaan mereka di klia2 disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata, kejayaan diperoleh pelajar berkenaan diharap dapat menjadi perangsang kepada lebih ramai pelajar untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya dalam bidang aeroangkasa.

"Kejayaan ini adalah permulaan buat mereka dan kami berharap mereka dapat meneroka lebih banyak teknologi dalam bidang angkasa lepas pada masa depan," katanya.

Katanya, kejohanan itu adalah penganjuran paling berprestij di dunia dan ia disertai oleh peserta dari China; Jepun; Filipina, Singapura; Thailand; Sri Lanka; Vietnam; India; Kemboja; Bangladesh; Indonesia dan Nepal.

Ia dianjurkan oleh JAXA dengan kerjasama Jabatan Teknologi dan Sains Filipina (DOST) bersempena Persidangan Agensi Angkasa Serantau Peringkat Asia Pasifik kali ke-23.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 11:38 PM