NUR Faiz Nabilah  meraih pingat gangsa pada kejohanan Shito-Ryu Shukokai Karate-Do Dunia di Jepun.
NUR Faiz Nabilah meraih pingat gangsa pada kejohanan Shito-Ryu Shukokai Karate-Do Dunia di Jepun.
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Nur Faiz Nabilah Mokhtar mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat gangsa pada kejohanan Shito-Ryu Shukokai Karate-Do Dunia di Jepun minggu lalu.

Kejayaan wanita berusia 22 tahun itu menjadikannya penuntut pertama negara meraih pingat pada kejohanan itu setakat ini.

“Saya bersama empat pelajar UIAM kampus Kuantan dan kampus Gombak, Selangor terpilih menyertai pertandingan yang menghimpunkan lebih 2,000 peserta seluruh dunia membabitkan beberapa kategori.

“Pengalaman selama empat tahun dalam sukan karate-do menjadi kelebihan untuk saya meraih pingat gangsa dalam kategori kumite yang membabitkan penyertaan lebih 20 peserta antarabangsa,” katanya yang berasal dari Johor.

Nur Faiz yang juga Pelajar Tahun Dua Kuliyah Sains Kesihatan Bersekutu itu berkata, dia yang kali pertama bertanding dalam peringkat antarabangsa tidak menyangka membawa pulang pingat gangsa selepas tewas kepada peserta tuan rumah di peringkat separuh akhir.

Pada pusingan pertama, dia menewaskan peserta Argentina 2-0, kemudian menewaskan peserta Filipina (2-1) pada pusingan kedua dan menumpaskan peserta Jepun (2-0) pada pusingan ketiga dan keempat.

Nur Faiz Nabilah berkata, kejayaan merangkul pingat gangsa adalah hadiah tertinggi dapat diberikan kepada UIAM yang kali pertama menghantar peserta bertanding dalam acara karata-do di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 11:29 AM