Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Seorang pengurus besar sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan salah guna kuasa serta memberi dan menerima suapan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Sesyen Putrajaya Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Pengurus besar berusia 56 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan kerana disyaki menyalahguna kuasa dan menerima wang suapan.

Manakala, dua lelaki masing-masing berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan sebuah syarikat pembinaan dan infrastruktur bergelar Datuk pula ditahan kira-kira jam 12 tengah malam tadi selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Sebelum itu, ketiga-tiga saspek tiba di Mahkamah Majistret, di sini, menaiki kenderaan SPRM dan dalam keadaan bergari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 12:30 PM