Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) ditahan reman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan salah guna kuasa serta aktiviti rasuah berkaitan projek ePassport di negara di Afrika.

Turut direman enam hari ialah pengurus jualan antarabangsa syarikat berkenaan berusia 36 tahun.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majisret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini sehingga 25 Januari ini.

Terdahulu, suspek bergelar Datuk berusia 58 tahun serta pengurus jualan antarabangsa itu tiba pada 8.55 pagi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menaiki kereta berasingan.

Kedua-dua suspek memakai baju lokap warna jingga dan tangan mereka bergari serta menutup muka masing-masing.

Semalam, SPRM menahan Pemangku CEO terbabit di kediamannya di Tropica Indah, Petaling Jaya, kira-kira 12 tengah hari.

Difahamkan, suspek ditahan kerana dipercayai menyalahguna kuasa serta aktiviti rasuah berkaitan satu projek ePassport yang dijalankan di negara di Afrika.

Susulan daripada penahanannya, pengurus pemasaran antarabangsa syarikat itu turut ditahan di rumahnya di Taman Desa,Jalan Klang Lama.

Kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti itu sejak 2013 hingga 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 11:00 AM