NOR Zaleha
NOR Zaleha
ANTARA kelas yang dijalankan Nor Zaleha.
ANTARA kelas yang dijalankan Nor Zaleha.
TEKAD bantu usahawan baru.
TEKAD bantu usahawan baru.
BERSAMA suami.
BERSAMA suami.
Siti Nadirah Hafidzin

Pernah melalui pelbagai dugaan dan detik sukar untuk memulakan perniagaan dek kekurangan ilmu dalam bidang itu serta tidak menerima layanan baik apabila bertanyakan kepada individu yang mahir, wanita gigih ini berazam membuktikan dirinya juga mampu berjaya.

Disebabkan pengalaman pahitnya itu, dia menyimpan hasrat membantu individu yang mahu memulakan perniagaan, namun tidak mengetahui selok-belok bidang itu.

Ternyata, kesabaran dan ketekunan Nor Zaleha Hasan, 27, membuahkan hasil selepas dia kini mampu tersenyum gembira kerana berjaya menubuhkan jenamanya sendiri dalam bidang fesyen dan pada masa sama giat membantu wanita dan belia yang tercari-cari arah memulakan perniagaan.

Menurut Nor Zaleha, dia menubuhkan Sha Zaha Circle Academy yang memberikan khidmat tunjuk ajar secara peribadi mengenai penggunaan pengiklanan laman Facebook selain selok-belok dunia perniagaan khusus kepada individu yang mahu memulakan perniagaan.

“Setiap sesi tunjuk ajar memakan masa tiga hingga empat jam sehingga individu itu faham sepenuhnya mengenai bidang yang mahu diceburinya kerana saya memberi penjelasan terperinci dan menyeluruh.

“Menggunakan pengalaman bertapak dalam bidang ini selain mempelajari selok-belok perniagaan dan pemasaran daripada individu mahir dari dalam dan luar negara selama lebih tiga tahun, membuatkan saya ingin berkongsi semua yang saya ada dengan orang lain,” katanya.

Nor Zaleha yang juga graduan ijazah kejuruteraan elektrik berkata, sesi tunjuk ajar dijalankan di lokasi yang dipersetujui dia dan pelajar bagi memastikan sesi itu berjalan dengan mudah dan selesa.

“Saya berusaha memberikan kefahaman sepenuhnya mengenai selok-belok pemasaran terutama menggunakan Facebook kerana kini hampir semua individu mempunyai telefon bimbit dan akaun laman media sosial itu. Jadi peluang anda berniaga dan mendapat pelanggan sangat luas.

“Disebabkan kini segalanya hanya di hujung jari, semuanya mudah dan banyak membantu peniaga baru yang menjalankan perniagaan secara dalam talian,” ujarnya.

Wanita kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu turut mengakui sambutan mengenai khidmat tunjuk ajar peribadi ini amat menggalakkan dan rata-ratanya berpuas hati dengan sesi dijalankan.

“Apa yang paling menggembirakan apabila mereka bersemangat memulakan perniagaan selepas melalui sesi itu dan sudah mengetahui asas mengenai perniagaan.

“Dengan keazaman dan semangat tidak kenal erti putus asa, sesiapa saja boleh berjaya dalam apa juga jenis perniagaan yang mereka mahu ceburi. Namun untuk berjaya faktor disiplin diri perlu ada,” katanya.

Faham keperluan bakal peniaga

Dia akui, di sebalik kemanisan yang dirasai terselit juga pelbagai cabaran terutama membabitkan soal pembahagian masa.

“Sikap masyarakat yang lebih suka melihat kegagalan daripada kejayaan memang menguji ketahanan emosi dan minda. Saya sentiasa katakan pada diri sendiri inilah peluang untuk membuktikan kemampuan saya. Selain itu cabaran di peringkat industri yang memerlukan saya mempersiapkan diri dengan kekuatan mental serta fizikal.

“Oleh kerana sudah merasai sendiri laluan pahit, saya lebih faham keperluan bakal peniaga. Saya juga sering menyuntik kata-kata perangsang kepada mereka yang berdaftar untuk belajar supaya tidak mudah lemah semangat dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Menurut Nor Zaleha, dia sering menekankan bidang perniagaan yang dipilih perlu sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

“Saya bukan saja menekankan faktor pemasaran, malah memberi penjelasan sebenar mengenai risiko yang bakal mereka hadapi sekiranya gagal menguruskan perniagaan dengan baik.

“Objektif saya mudah, saya mahu mereka mempunyai asas yang kukuh, semangat jitu dan bijak dalam menguruskan perniagaan terutama ketika berdepan risiko juga kerenah pelanggan,” katanya.

Wanita yang memiliki personaliti menarik itu bersyukur kerana dianugerahkan teman hidup yang sentiasa membantunya dalam perniagaan dan sesi tunjuk ajar dijalankan itu.

“Dia seorang yang mengutamakan keluarga dalam apa keadaan sekali pun selain memahami kehendak isterinya dengan memberi sokongan sepenuhnya kepada saya untuk menjalankan apa yang saya mahu.

“Dalam tempoh dua tahun, kami berjaya mengatur langkah menaikkan penjenamaan Sha Zaha Shawl dengan mengambil segala aspek penting bagi meluaskan jajahan perniagaan kami,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami sentiasa berpegang kepada lapan matlamat dalam kehidupan iaitu agama, keluarga, kerjaya, kebahagiaan, kesihatan, pendidikan dan kemajuan diri, memberi sumbangan serta kewangan.

“Saya dan suami juga memilih Facebook sebagai medan berkongsi ilmu kerana ilmu yang ada ini anugerah Allah selain turut menjalankan perniagaan di laman sosial itu.

“Disebabkan itu, saya juga mahu berkongsi ilmu dengan individu lain dan memberitahu mereka Facebook bukan saja boleh dijadikan laman bersosial, namun ia sebenarnya medan yang berguna kepada individu yang berkecimpung dalam perniagaan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 11:50 AM