Nor Hairulnizam Wahid


Kuala Lumpur: Pencapaian luar biasa Datuk Lee Chong Wei (gambar) memenangi tiga pingat perak dalam tiga edisi Sukan Olimpik, melayakkan jaguh badminton negara itu menerima anugerah Olimpian 2016 Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Biarpun sebelum ini, siapa pemilik gelaran itu hanya akan diketahui pada malam anugerah berkenaan, tetapi menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar, pencapaian luar biasa atlet itu melayakkannya menerima anugerah terbabit.

Malah tidak keterlaluan apabila beliau menyifatkan pencapaian Chong Wei setanding jaguh pecut antarabangsa Usain Bolt yang mampu mempertahankan kejayaan dalam tiga edisi Olimpik berturut-turut.

“Biarpun masih menunggu laporan Chef de Mission Olimpik Rio (Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid), pencapaian Chong Wei sudah dibincang dalam mesyuarat kami hari ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, semalam.

Biarpun pencapaian beregu lelaki Goh V-Shem dan Tan Wee Kiong serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying lebih mencuri perhatian di Rio tetapi MOM mempunyai alasan tersendiri untuk memilih pemenang Anugerah Olimpian Tahunan 2008 dan 2012 itu.

“Ini bukan kerana peningkatan tapi kerana kekal di sana selama itu pada usianya sekarang. Dia berjaya menewaskan juara bertahan Olimpik serta bekas juara dunia Lin Dan selain meraih tiga perak berturut-turut,” jelas Tunku Imran.

“Bukan semua atlet mampu mencapai kejayaan meraih tiga pingat berturut-turut. Jika anda lihat kepada Usain Bolt, dia manusia luar biasa, maka dalam badminton berapa ramai boleh melakukannya.

“Di Malaysia, dia bagaikan Usain Bolt meskipun dalam sukan berbeza.”

Menerusi mesyuarat itu gandingan terjun, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong dipilih memenangi anugerah Olimpian Tahunan bagi kategori wanita.

Sementara itu MOM membayangkan tidak semua atlet berada dalam program Kita Juara akan ‘selamat’ selepas pemilihan pertama atlet ke Sukan SEA 2017 Mac depan yang menandakan berakhirnya fasa kedua program berkenaan.

“Tidak semua atlet dalam Kita Juara akan terpilih dan tidak semestinya mereka yang tidak berada dalam program itu tidak akan dipilih.

“Jawatankuasa pemilihan akan bersikap adil. Akan ada atlet dalam Kita Juara bakal diketepikan dan mereka yang tiada dalam program, dibawa masuk.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 6:34 AM