ALBUM Dangdut Asia gabung artis dari 4 negara kembalikan kegemilangan irama dangdut.
ALBUM Dangdut Asia gabung artis dari 4 negara kembalikan kegemilangan irama dangdut.
Nor Akmar Samudin

Atas usaha dan kesungguhan penyanyi dan komposer Dior, lahirlah album Dangdut Asia yang menggabungkan 17 penyanyi dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Album itu juga diterbitkan syarikatnya, Dior Entertainment. Selain dia turut menyumbangkan suaranya menerusi lagu Goyang Sampai Ke Lantai dan mencipta lapan lagu lagi iaitu Anak Ikan nyanyian Rozita Rohaizad, Kasorga (Fauzi Hamzi), Rindu Sakit (Farez Adam dan Elda Susanti), Malu-Malu Kucing (Dzuf Lee), Ku Putih (Ellisa Tan), Senyum Sokmo (Amin Mahzuan), Mengapa (Rubisa Tiasin) dan Terusik (Anis Aneesa).

Penyanyi lain yang turut sama dalam projek itu, Ayda Jebat dengan lagunya Pencuri Hati, Novy Ayla (Cintai Aku Kerana Allah), Qemil (Mabuk Kepayang), Lynn Malik (Baper), Ivan Gunawan featuring Ubur Ubur (Pedas Merem), Erie Suzan (Muara Kasih Bonda), Jelia Iskandar (Bidadari Pun Cemburu) dan Nong Niken (Hijrah).

Menurut Dior atau nama sebenarnya Mohd Shahril Shaari yang juga Presiden Persatuan Penggiat Dangdut Malaysia (PPDM), persatuan menyokong pembikinan album itu apabila ia bertujuan mengembalikan kegemilangan irama itu.

“Penyanyi dangdut ramai dan mereka mesti bersatu, barulah irama ini akan mendapat perhatian masyarakat. Irama dangdut masih berbisa cuma ada ketika ia seakan-akan dipinggirkan. Dengan adanya album Dangdut Asia, artis yang terbabit dalam projek ini dapat saling menyokong,” katanya.

Jelas Dior, PPDM adalah khusus untuk penyanyi dangdut di Malaysia sahaja yang turut membuka penyertaan kepada semua penggiat dangdut seperti pencipta dan penulis lirik.

“Bagaimanapun, untuk album Dangdut Asia saya mengundang penyanyi dari tiga negara jiran bagi memeriahkan penerbitan album ini dan ia juga sebagai strategi pemasaran kerana siapa tahu penyanyi dangdut Malaysia diberi ruang membuat persembahan bersama artis dangdut di Indonesia.

“Semua lagu sudah siap dirakam barisan penyanyi dan dihimpunkan dalam satu album. Dalam keadaan pasaran sekarang, amat mustahil untuk setiap penyanyi menghasilkan album penuh. Sejak dilancarkan sebulan lalu, ramai memuji album ini kerana memuatkan lagu 17 penyanyi.

“Penghasilan album itu juga mendapat kerjasama pusat karaoke Neway yang sudi menaja konsert yang bakal dianjurkan. Dengan penerbitan album Dangdut Asia ini juga tercapailah impian saya untuk membantu penyanyi dangdut yang kebanyakannya terpaksa bergerak sendiri. Jika tiada aral, kami akan menjelajah seluruh Malaysia untuk mempromosikan album ini.

Sementara itu Rozita berkata, ada juga yang mengkritiknya menyanyikan lagu Anak Ikan.

“Ramai kawan saya orang muda dan apabila Dior bertanyakan genre lagu yang saya mahu, saya cadangkan lagu Anak Ikan. Ketika itu saya tidak terfikir pun akan timbul sebarang kontroversi. Waktu saya itu hanya ingat anak ikan adalah lelaki kacak.

“Apabila bergaul dengan orang muda saya jadi bersemangat. Saya tahu yang saya sudah berusia tetapi kenalah juga seimbang kerana tidak semestinya kita hanya perlu bergaul dengan orang sebaya kita saja. Hidup mesti ceria tanpa kita mengabaikan agama. Saya faham kita tidak boleh memuaskan hati semua orang dan saya tidak berkecil hati pun kerana sebagai penyanyi dan penghibur, kita mesti melakukan sesuatu agar terus kekal dalam industri. Lagu pun saya sayang kerjaya saya,” katanya.

Farez yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 2014 teruja apabila diberi peluang terbabit dalam projek itu selepas sekian lama menyepi.

“Lagu saya lebih bersifat urban. Dua tahun saya tiada lagu akibat ditipu seorang komposer. Irama lagu Rindu Sakit mirip lagu Jangan Ragu-Ragu Sayang nyanyian Tasha Manshahar dan Syed Shamim,” katanya.

Farez yang masih menuntut di Politeknik Shah Alam dalam jurusan kejuruteraan itu mengakui meminati irama dangdut, jadi tiada masalah baginya untuk ‘bersatu’ dengan penyanyi dangdut lain dalam album Dangdut Asia itu.

Fauzi Hamzi juga berkongsi minat sama dengan Faris yang meminati dangdut sejak di bangku sekolah.

“Kasorga adalah single kedua saya. Lagu pertama saya dulu berjudul Ku Tinggal Sendiri berentak dangdut rock. Bagi saya irama dangdut mampu menceriakan hati pendengar dan ia bukan irama murahan seperti yang diperkatakan segelintir pihak.

“Kalau ada undangan persembahan, pasti ada peminat yagn mahu saya menyanyikan lagu dangdut dan ia membuktikan genre ini masih relevan.

“Saya boleh menyanyikan apa sahaja genre tetapi jiwa ini lebih ke arah dangdut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 12:05 PM