DIOR (kiri) dan Elfee.
DIOR (kiri) dan Elfee.
Nor Akmar Samudin


Mereka anak seni yang tegar dan tabah dalam memburu cita-cita untuk menjadi penyanyi terkenal lantaran itu menerusi persahabatan yang terjalin sekian lama, Elfee Hefny dan Dior saling menyokong kerjaya masing-masing.

Dalam mengejar impian dan kejayaan, mereka tidak pernah berputus asa. Dior atau nama sebenarnya Mohd Shahril Shaari tidak pernah terkesan dengan kata-kata orang padanya.

“Jika orang selalu bercakap pasal saya itu maknanya mereka mengikuti perkembangan diri saya, tak kiralah sama ada mereka mengeji atau memuji. Saya teruskan hidup seperti biasa dan terus merancang pelbagai projek seni,” katanya.

Selain menyanyi dia juga aktif mencipta lagu dan selepas berjaya menerbitkan album Dangdut Asia 1, Dior kini dalam proses menghasilkan album Dangdut Asia 2.

Projek itu menggabungkan 17 penyanyi dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura akan dilancarkan September ini. Siap sahaja projek itu, Dior bersama barisan artis lain mengadakan siri jelajah di seluruh negara.

Dior turut memuatkan lagunya dalam album itu berjudul Buruanmu versi dangdut berduet dengan Ani Mayuni.

“Saya mahu dikenalli sebagai produser album dangdut di negara ini. Inspirasi itu tercetus selepas saya mengikuti pertandingan D’Academy Asia di Jakarta dan saya melihat genre dangdut tidak pernah ‘mati’.

“Saya juga berhasrat menggabungkan penyanyi dangdut Asia di mana apa saja program yang membabitkan artis Malaysia di Indonesia atau negara lain, saya yang akan menguruskannya,” katanya.

Di samping itu, Dior yang sering berulang-alik ke Korea sejak 2011 berkata, pada Mac tahun depan dia akan fokus dengan kerjaya seninya di negara itu pula. Dia akan memasarkan mini album berjudul Dream memuatkan tiga lagu Korea berentak K-pop balada. Semua lagu itu dalam proses rakaman.

Urusan publisiti dan promosi album itu nanti diuruskan syarikat penerbitan Rockin Korea Entertainment.

“Untuk perbelanjaan lain saya menggunakan bajet sendiri. Saya juga sedang menurunkan berat badan kerana untuk menembusi pasaran muzik negara itu, penampilan mestilah kelihatan sempurna.

“Orang Korea susah nak percayakan orang luar jadi dengan peluang yang ada ini saya akan bekerja keras membuktikan kesungguhan dan kemampuan saya,” katanya.

Projek khas dengan Dior

Sementara itu Elfee terharu kerana Dior yang dikenali sejak 2007 tidak pernah lupa kepadanya. Apa sahaja, mereka saling bertukar pandangan kerana mengerti keperitan yang dilalui dalam industri ini.

“Alhamdulillah, kini segala yang dirancang berjalan lancar termasuklah perniagaan makanan yang saya usahakan. Saya akan bekerjasama dengan Dior mempromosikan album Dangdut Asia 2 dan berharap dapat menarik perhatian pencinta muzik di luar negara pula.

“Atas sokongan Dior juga, saya menyahut cabaran menyanyikan lagu dangdut selaras dengan hasrat saya untuk menjadi artis serba boleh.

“Ini lagu kedua dihasilkan Dior untuk saya. Walaupun hanya satu sahaja dimuatkan dalam album Dangdut Asia 2, ia permulaan yang baik buat saya. Apatah lagi album ini dipasarkan di Brunei, Indonesia dan Singapura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 5:21 AM