LING
LING


Luarannya tumbuhan ini tidak ubah seperti rumput di tepi jalan tapi siapa sangka rumput hijau kecil ini dikatakan sebagai makanan luar biasa kerana mengandungi khasiat yang mengagumkan untuk kesihatan.

Rumput gandum atau wheatgrass ialah rumput muda tumbuhan gandum biasa dipanggil triticum aestivum, sejenis rumput yang boleh dijadikan jus atau dikisar sebagai serbuk halus hijau yang digunakan bagi mencipta produk pelbagai guna untuk manusia dan haiwan.

Pelbagai kajian sejak beberapa tahun ini mengenai manfaat minuman jus rumput gandum mentah untuk kesihatan termasuk selesema biasa dan batuk, sembelit dan kolitis, penyakit kulit, jangkitan dan radang. Ia juga mula dikaji untuk penyakit jantung dan kanser.

Pengasas jus buah-buahan segar dan smoothie premium Juice Works Malaysia Ling Mooi Li berkata, rumput gandum makanan menakjubkan kerana pelbagai sifat kesihatan dan kuasa penyembuhannya.

Rumput gandum mengandungi bekalan yang kaya dengan klorofil dan membantu untuk melawan radikal yang merosakkan badan kita. Ia juga sumber semula jadi vitamin A, C, E, K dan B mineral dan enzim termasuk zat besi, magnesium, kalsium, kalium, zink dan asid amino.

“Walaupun rumput gandum kini popular, ia bukannya satu trend baru. Sejak berabad dulu ia sudah dimakan secara mentah oleh orang purba. Nenek moyang kita menyedari manfaatnya sebagai makanan tumbuhan yang padat dengan nutrien.

“Juice Works syarikat pertama di Malaysia menawarkan rumput gandum yang tulen dan sihat. Rumput gandum hanya akan dituai dan dijadikan jus setelah dibeli pelanggan. Ia dihidangkan di dalam satu cawan kecil dengan sari oren untuk mengimbangi sedikit rasa pahit itu atau ditambah ke dalam jus atau smoothie.

“Rumput gandum yang ditawarkan oleh Juice Works ditanam dan dituai di depan pelanggan untuk mengekalkan bekalan kaya dengan enzim yang terdapat di setiap helai rumput.

“Saya nasihatkan supaya memulakan pengambilan rumput gandum secara perlahan-lahan sekiranya anda ingin untuk menggabungkannya dalam diet harian,” katanya.

Menurutnya, hanya mengambil satu auns sehari dan secara beransur-ansur kepada dua auns memberi manfaat yang baik untuk kesihatan.

Bagaimanapun katanya, kerana kesan rumput gandum adalah kuat, anda hanya perlukan dua auns sehari untuk menikmati faedahnya malah paling baik jika ia diambil semasa perut kosong apabila ia dapat diserap dengan lebih baik.

Perlu lebih banyak fakta yang meyakinkan anda untuk bermula mengambil lebih rumput gandum dalam diet harian? Berikut antara sebab pengambilan rumput gandum baik untuk anda:

1. Daun hijau rumput gandum mengandungi klorofil yang berfungsi sebagai komponen penting untuk darah.

2. Tumbuhan halus yang mengandungi pelbagai vitamin, mineral dan enzim yang segar di dalam minuman ini mudah dicerna.

3. Klorofil mengandungi enzim hidup yang melawan radikal bebas di dalam badan untuk melambatkan proses penuaan

4. Klorofil membantu menguruskan, juga memberhentikan pertumbuhan bakteria tidak mesra daripada tumbuh dan berkembang di dalam badan.

5.Walaupun klorofil boleh diekstrak daripada pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan, rumput gandum mengandungi sejumlah klorofil jauh lebih tinggi kerana ia boleh menyimpan sejumlah besar unsur lain.

6.Klorofil membantu menyembuh dan merawat lapisan kulit untuk keadaan seperti ekzema, gatal-gatal dan keracunan

7.Rumput gandum membantu menghilangkan kesesakan hidung dan selesema, juga resdung kronik.

8. Klorofil membantu membersihkan hati daripada lebihan toksin yang dimakan setiap hari.

9. Ia juga membantu menyeimbangkan tahap gula di dalam darah.

10. Dianggap sebagai makanan berkhasiat lengkap kerana ia mengandungi spektrum penuh dengan vitamin, mineral, dan unsur surih yang diperlukan oleh badan kita.

11.Rumput gandum membantu untuk menangani penyakit usus dan meningkatkan penghadaman

12. Ia juga pembersih kulit dan boleh diserap jika badan direndam di dalam tab yang hangat dengan jus berkenaan.

13. Membantu melegakan kesakitan artritis apabila diletakkan di atas sendi kerana klorofil membantu menyembuhkan keradangan.

14. Masalah kelemumur? Sapu beberapa sudu jus rumput gandum di atas kulit kepala dan biarkan ia selama 20 minit. Ia juga dikatakan membantu menangani uban.

15. Rumput gandum membantu penurunan berat badan kerana ia membantu menguruskan kelenjar tiroid dan ia juga banyak membantu anda mengurangkan pengambilan pemakanan anda.

16. Rumput gandum bertindak sebagai pengkumur mulut semula jadi. Berkumur jus rumput gandum untuk beberapa minit membantu untuk mencegah kerosakan gigi, melegakan sakit gigi dan merawat gusi berdarah.

17. Ia mengandungi antioksidan yang membantu mengurangkan jumlah kolesterol darah dan meningkatkan HDL atau kolesterol baik dan juga tahap vitamin C dalam darah.

18. Ia juga kaya dengan kandungan serat bagi membantu meningkatkan kesihatan pencernaan terutama apabila dimakan sebagai sebahagian daripada diet yang kaya dengan serat larut dan tidak larut seperti buah-buahan segar dan sayur-sayuran.

19. Ia membantu untuk meningkatkan penglihatan pada keseluruhannya terutama penglihatan pada waktu malam.

20. Secara semula jadi, ia membantu anda tidur nyenyak, meningkatkan isyarat ke saraf dan mewujudkan kesejahteraan mental yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:56 AM