Antara mangsa yang cedera dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Batang Kali, di sini,  awal pagi tadi. FOTO ihsan bomba.
Antara mangsa yang cedera dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Batang Kali, di sini, awal pagi tadi. FOTO ihsan bomba.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Hulu Selangor: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan lori tiga tan di Kilometer 47 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Batang Kali, di sini, jam 2.20 pagi tadi.

Menurut jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor, kemalangan berlaku ketika lori itu dikatakan keluar dari simpang menghala ke Ipoh, Perak secara mengejut dan mengakibatkan pemandu Proton Wira Aeroback gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh bahagian belakang lori sebelum kedua-dua kenderaan terbabas dan terbalik di bahu jalan.

Katanya, pemandu dan seorang penumpang kereta itu berusia 20 dan 15 tahun maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala empat lagi penumpang cedera.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 2:09 PM